Imam Ahmad telah memberitakan dari Humaid bin Hilal, dia
berkata: Ada seorang lelaki yang sering berulang-alik di kampung kami, lalu dia
membawa cerita yang aneh-aneh kepada orang-orang kampung. Dia bercerita: Suatu
ketika aku datang ke Madinah dalam rombongan dagang, lalu aku menjual semua
barang-barang yang aku bawa. Aku berkata kepada diriku: Mengapa aku tidak pergi
kepada orang lelaki yang membawa ajaran baru itu, barangkali aku dapat mendengar
berita-berita yang aneh untuk aku bawa kembali bersamaku?! Aku pun pergi kepada
Rasulullah SAW untuk bertanya sesuatu, lalu Beliau menunjuki arah sebuah rumah,
katanya: Ada seorang wanita yang tinggal di rumah itu . Pernah dia mengikut
tentera Islam berjihad, dan ditinggalkannya 12 ekor kambingnya dan sebuah alat
tenunan yang digunakannya untuk menenun pakaian. Apabila dia kembali dari
berjihad, didapati kambingnya hilang seekor, dan alat tenunannya pun hilang. Dia
merasa sedih atas kehilangannya itu. Maka dia pun mengangkat kedua belah tangan
berdoa kepada Tuhannya dengan penuh kesungguhan, katanya:
"Ya Tuhanku! Engkau telah berikan jaminan bahawa
siapa yang keluar berjihad pada jalanmu, Engkau akan pelihara harta bendanya,
dan sekarang aku telah kehilangan seekor kambing, dan alat tenunanku. jadi aku
minta ganti kambing yang hilang dan alat tenunanku itu!"
Rasulullah SAW terus menceritakan betapa
sungguh-sungguhnya dia berdoa dan memohon kepada Tuhannya, sehingga pada esok
harinya dia mendapati di pintu rumahnya kambingnya yang hilang itu dengan seekor
kambing lagi bersamanya. Begitu juga dia melihat alat tenunannya ada di situ
dengan satu alat tenun yang lain. Itulah ceritanya, kata Rasulullah SAW dan jika
engkau mahu, pergilah kepadanya di rumah itu, dan tanyalah dia cerita itu!
"Tidak", jawabku, "akan tetapi aku percaya semua yang engkau katakan itu!"
(Majma'uz-Zawaid 5:277)