Kelebihan Bekerja Dengan Ikhlas

Berusaha untuk terus membuat kerja ikhlas membawa banyak manfaat kepada diri dan tempat kerja anda. Selain daripada gaji dan produktiviti ia juga menyebabkan diri kita disukai majikan, teman sekerja dan yang paling bermakna disayangi oleh Allah. Bukankah kerja itu satu ibadah jadi, lakukanlah dengan ikhlas. Terdapat banyak kelebihannya apabila kita bekerja dengan ikhlas:


1. RAIH KEKUATAN DALAM KERJA
Orang yang ikhlas akan mendapat bantuan dalam melaksanakan kerjanya. Allah tidak akan mengecewakan hambaNya yang ikhlas. Dia sentiasa memberi bantuan apabila hambaNya yang memohon pertolongan. Pekerja itu akan menjadi lebih sabar, bijaksana dan mendapat kekuatan dalam setiap pekerjaan.


2. MEMBERI HASIL KERJA TERBAIK
Jika bekerja kerana gaji, biasanya seseorang tidak akab bekerja melebihi kadar gaji yang diterimanya. Tetapi jika kita bekerja ikhlas kerana Allah, pekerja itu akan melipatgandakan kerjanya kerana menginginkan pembalasan dari Allah yang jauh lebih banyak, baik dan kekal. Bekerja dengan produktif tanpa memilih atau mengejar kerja yang ada nilai ganjaran di sebaliknya. Tidak terlalu berkira dengan masa dan tenaga dan sentiasa bersedia melakukan kerja- kerja sukarela, membantu dan berkhidmat bila diperlukan.


3. TERHINDAR DARIPADA  'PENYELEWENGAN'
Pekerja yang ikhlas sentiasa merasakan dirinya diawasi oleh Allah. Walaupun ada 'punch card', CCTV dan peraturan dan etika kerja yang lain untuk menghalangnya daripada melakukan 'penyelewengan' seperti rasuah, curi tulang, ponteng dan lain- lain amalan negatif. Segala pantauan yang diikuti bukan kerana ketetapan syarikat tetapi dilakukan untuk Allah yang Maha Mengetahui.


4. BERKASIH SAYANG SESAMA RAKAN SEKERJA
Orang yang ikhlas hanya mengharapkan keredhaan Allah dan mereka tidak akan menzalimi orang lain atau membabitkan diri dengan politik ofis yang menjatuhkan orang lain demi untuk mengejar pujian atau pangkat. Malahan amat mementingkan silatulrrahim di tempat kerja dan berkasih sayang sesama rakan sekerja.


5. TAAT KEPADA KETUA DAN HORMAT PEKERJA DI BAWAHNYA
Selagi tidak bercanggah dengan syariat, pekerja yang ikhlas akan menurut arahan, teguran dan keputusan dari ketua atau pegawai atasannya. Taat bukan untuk mengampu atau membodek boss tetapi atas dasar taat kepada Allah. Begitu juga dengan pekerja bawahannyadia akan bersifat mengasihi bukan menzalimi. Mereka menyedari pemimpin itu adalah 'khadam ummah' dan bukannya memperalatkan orang lain untuk kepentingan peribadi.






MUTIARA KATA
Kejayaan seseorang bukan berdasarkan kekayaan yang ada tetapi kebijaksanaan dan kematangan fikiran adalah faktor kejayaan.