✭ Tips Diet Untuk Lelaki Dan Perempuan

 


Cari makanan gantian
Gantikan makanan kegemaran anda dengan juadah yang kurang lemak, gula atau garam. Jika selama ini anda gemar susu penuh krim, mungkin anda boleh gantikan dengan susu rendah lemak.

Minum banyak air
Banyakkan minum air putih menggantikan air bergas atau jus kordial. Tahukah anda, air bergas boleh menambahkan kalori anda sebanyak 360 kJ sehari?.

Banyakkan pergerakan
Banyakkan bersenam - ini akan membakar kalori anda yang berlebihan. Anda bebas berjogging, main futsal atau melakukan kegiatan fizikal mengikut kemampuan anda. Anda juga boleh berbasikal ke tempat kerja, menggantikan lif dengan menaiki tangga, berjalan ke restoran, membuat sit-up sambil menonton TV atau meletakkan kenderaan jauh dari pejabat atau tempat dituju.

Ada pakar kesihatan menyarankan anda bersenam selama 30 hingga 45 minit sebanyak tiga atau lima kali seminggu. Mungkin agak sukar untuk anda memulakan senaman sehingga 45 minit sehari. Apa kata lakukannya dalam tempoh 10 minit saja? Jangan paksa diri sebaliknya belajar berdisiplin dan jadikan ia suatu rutin.

Lakukan sedikit demi sedikit
Jangan terlalu drastik! Lakukan sedikit demi sedikit ikut kemampuan anda. Kurangkan sedikit demi sedikit pengambilan makanan tinggi kalori dan gantikan dengan makanan berkhasiat.

Jangan terlebih makan
Pernah anda mendengar sunnah Rasulullah SAW. yang mengunyah perlahan-lahan dan berhenti makan sebelum kenyang atau petua pemakanan yang diamalkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad? Jadi, makan sedikit tetapi kerap.

Jangan tidak sentuh langsung makanan berlemak
Usah begitu kerana badan anda masih memerlukan lemak tetapi dalam sukatan yang betul. Cuba seimbangkan makanan anda dengan sesuatu yang berkhasiat.

Fokus pada sihat
Jangan terlalu mengejar alat penunjuk pada mesin pemberat tertumpu kepada angka idaman atau berat badan yang dihajatkan. Tetapkan pemikiran anda dengan memilih makanan yang boleh memberikan nutrien dan khasiat yang optima kepada badan anda.

Atasi tekanan emosi
Emosi yang bercelaru boleh menyebabkan anda teruja untuk menjamu selera. Cari kaedah lain untuk mengatasinya dengan meluahkan masalah kepada kenalan rapat atau berjumpa kaunselor.

Motivasi
Sokongan dan motivasi adalah sebahagian kunci utama dalam proses menurunkan berat badan. Dapatkan sokongan insan tersayang dan nasihat pakar dietitik supaya anda melakukan program diet yang betul.