✭ Nabi Muhammad Rahmat Sekalian Alam


Muhammad vector logo

Setiap tahun, umat Islam di negara ini memperingati dan menyambut hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad S.a.w dengan penuh semangat kecintaan terhadap baginda. Semangat sebegini sememangnya harus dipuji dan dijadikan contoh yang harus diteladani sampai bila- bila.
 
Persoalannya sekarang, sejauh manakah kita mengambil ikhtibar dan pengajaran dari setiap sambutan yang kita rayakan ini? Apakah setiap umat Islam mengimbas semula sejarah dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi junjungan kita? Bagaimanakah kita menolak segala da'yah yang dilemparkan oleh para orientalis terhadap baginda jika kita tidak mengetahui keperibadian, ajaran dan peranan baginda terhadap umat manusia?
 
Mari kita renungkan bersama firman Allah S.w.t, yang bermaksud: " Katakanlah (wahai Muhammad) : " Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Menghidupkan dan Mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan kalimah- kalimah-Nya (kitab-kitab-Nya), dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk." (Surah Al-A'raaf: 158)
 
Ayat ini menjadi dalil dan bukti yang tegas bahawa Nabi Muhammad S.a.w adalah seorang rasul yang diutus untuk membimbing seluruh umat manusia dengan hidayah dan petunjuk Allah. Baginda adalah manusia biasa yang sama memikul tanggungjawab sebagai hamba Allah serta menghadapi pahit manis kehidupan seperti orang lain. Firman Allah S.w.t, yang bermaksud: " Katakanlah (wahai Muhammad): " Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu..."
(Surah Al-Kahfi, ayat 110)
 
Baginda bukanlah seorang pemerintah yang gila kuasa seperti yang didakwa oleh para orientalis. Baginda adalah insan yang teramat istimewa di sisi Allah, mempunyai keperibadian yang mulia sekaligus menjadi contoh kepada umat manusia sekaliannya. Allah S.w.t berfirman, yang bermaksud: " Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik..."
 
Akhlak baginda terkumpul dalam kesempurnaan yang maksima sehinggakan Allah S.a.w memuji baginda dengan firmannya, yang bermaksud:" Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat- sangat mulia."
(Surah Al-Qalam, ayat 4)
 
Begitu besar dan tinggi pujian yang diberikan oleh Allah S.w.t sebagai Pencipta kepada makhluk-Nya. Apakah pula pujian yang diberikan oleh umat manusia kepada baginda sebagai ganjaran atas usaha dan pengorbanan baginda dalam menyampaikan mesej Allah ini? Sejauh manakah umat manusia mengenang jasa dan pengorbanan baginda?
 
Untuk itu, ikuti serba sedikit kupasan tentang kefahaman mengenai ajaran Islam dan keperibadian baginda Rasulullah dalam memeperjuangkan agama Islam. Semoga pengetahuan dan kefahaman yang diperolehi ini akan dimanfaatkan oleh seluruh umat Islam dan menamkan lagi rasa cinta dan kasih kita kepada baginda.
 
Nabi Muhammad Rahmat Sekalian Alam
 
Nabi Muhammad S.a.w merupakan rasul Allah yang terakhir diutus dengan agama yang sama seperti rasul- rasul yang terdahulu untuk membimbing umat manusia ke jalan yang diredhai Allah. Baginda bukan diutus untuk menolak para rasul yang terdahulu atau menyangkal ajaran merka. Allah S.w.t berfirman, yang maksudnya: " Tuhan telah menerangkan kepada kamu di antara perkara- perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya, perkara yang Ia telah perintahkan kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan dia kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya..."
(Surah Al-Syura, ayat 13)
 
Bahkan kelahiran baginda pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah merupakan suatu rahmat yang besar kepada seluruh umat manusia dan makhluk di muka bumi ini. Kedatangan baginda dinyatakan oleh Allah S.w.t di dalam Al- Quran, yang bermaksud:" Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah databg kepada kamu, bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran) sebagai Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak)."
(Surah An-Nisa', ayat 174)
 
Baginda lahir ketika seluruh dunia lupa kepada ajaran Penciptanya dn tenggelam dalam fahaman dengan pelbagai Tuhan. Masyarakat Arab telah mula lupa kepada agama nenek moyang mereka, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.s. Mereka telah mula menyembah berhala dan batu di Baitullah Ka'bah. Ajaran Nabi Musa dan Nabi Isa telah hilang ketulenannya di kalangan pengikut mereka. Jelasnya pada kerika itu manusia berada di dalam kegelapan, kemungkaran dan kesesatan. 
 
Baginda dibesarkan di perkampungan Arab Badwi di bawah jagaan Halimatus Sa'diah. Suasana pendidikan desa telah memberikan kesan positif yang mendalam kepada watak dan peribadi baginda. Tambahan lagi baginda sedari kecil mendapat didikan dan asuhan terus daripada Allah S.w.t. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Mas'ud R.a bahawa baginda Rasulullah S.a.w telah bersabda: " Tuhanku telah mendidikku dan Dia telah mendidik aku aku dengan sebaik- baiknya...".
(Hadis Riwayat Ibnu Sam'ani)
 
Maka tidak hairanlah baginda begitu sabar dalam melayani karenah umat manusia dalam berdakwah. Baginda sangat pemaaf  dan bertolak ansur dalam bergaul dengan semua pihak. Baginda mampu menahan kemarahan, kesakitan dan penganiayaan yang dilemparkan ke atas diri baginda. Bagibda sabar melalui kesukaran dan menanggung penderitaan dalam usaha untuk menyampaikan dakwah Islamiah yang diperintahkan oleh Allah S.w.t. Ini dijelaskan di dalam firman Allah S.a.w, yang bermaksud:" Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad S.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesukaran yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang- orang yang beriman."
(Surah At- Taubah, ayat 128)
 
Perilaku baginda pula sentiasa berhubungkait dengan keperimanusiaan. Akhlak mulia baginda ini adalah contoh teladan bagi semua makhluk di dunia ini. Begitu juga dengan ajaran baginda yang lengkap, menyeluruh serta meliputi setiap aspek kehidupan manusia. Ianya menyentuh setiap bidang kegiatan duniawi dan ukhrawi manusia, mensucikan manusia dari unsur- unsur kejahatan, membersihakan daripada kekejian dan kekufuran, mengubat sifat yang kolot, puak- puak dan berbangsa- bangsa itu dengan "celupan Allah" (corak Islam) berdasarkan firman Allah S.w.t, yang maksudnya:  " (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman:" Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam), dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada- Nya kami beribadat."
(Surah Al- Baqarah, ayat 138)
 
Firman Allah S.w.t, yang bermaksud:" Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang- orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang rasul dalam bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat- ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasan-Nya), dan membersihkan mereka dari (iktikad yang sesat), serta mengajar merka kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata."
(Surah A-li 'Imraan, ayat 164)
 
Ayat ini menggambarkan tiga matlamat Rasulullah:
 
1) Baginda menerangkan perintah Allah dan tand- tanda kebesaran-Nya serta tafsiran yang munasabah kepada orang ramai.
 
2) Baginda mengajarkan Al-Quran dan kebijaksanaan kepada umat Islam supaya mereka dapat memahami maksud serta perkara- perkara yang diajar di dalam Al- Quran.
 
3) Baginda membersihkan hati, perbuatan, akhlak serta pendapat mereka yang tidak baik dan membentuk serta menggantikannya dengan sifat- sifat mulia dan juga perbuatan- perbuatan yang baik di dalam diri mereka.
 
Jelasnya kedatangan baginda ke muka bumi ini adalah semata- mata untuk membawa rahmat dan hidayah Allah S.w.t. Ini dirakamkan dalam firman Allah S.w.t, yang bermaksud:" Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."
(Surah Al-Anbiaa', ayat 107)
 
Ayat ini menjelaskan kepada seluruh umat manusia bahawa Nabi Muhammad S.a.w adalah pembawa rahmat kepada seluruh alam. Begitu juga dengan agama Islam, agama yang dibawa oleh baginda adalah agama yang murni, dipenuhi dengan kedamaian, ketenteraman dan ketenangan.
 
Perkataan"Islam" itu sendiri beerti sejahtera dan juga penyerahan serta kepatuhan kepada Allah. Bahkan salah satu nama Allah ialah "As-Salam" iaitu Yang Maha Menyelamatkan (Allah S.w.t berkehendak menyelamatkan dan mententeramkan manusia dengan mewahyukan syariat yang suci iaitu agama Islam.)

Wallahu 'alam..