Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap
menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya
selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang
seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair.
Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang
terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang
kematian saudaranya yang bernama Sakhr :
"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr,
malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang di ufuk barat Kalaulah
tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat
mereka, nescaya aku bunuh diriku."
Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan
kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang
Islam. Ia mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dan
dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk
berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya
sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab
menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai
kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai
41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut
mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan
perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan
semangat pejuang tentera Islam.
Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang
sebentar lagi akan ke medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam
dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang
tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari
seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku
tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan
keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu
pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum
kafir itu. Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada
kampung yang binasa."
Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali
Imran yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah
kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah,
moga-moga menjadi orang yang beruntung." Putera-putera Khansa tertunduk
khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok
pagi, insya Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan
musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah.
Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api
peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah
puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya
mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."
Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar
sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh,
kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga.
Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar
bersiap-sedia sebaik saja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun
bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000
orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan
Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah
.
Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki
syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun
berasa takut. Sambil mengibas- ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka
bersyair,
"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak
pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua
mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita
buktikan sedikit masa lagi."
Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang.
Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang
mencabar. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,
"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari
ibu tua kami Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah
bertempur, segeralah bertarung dan menggempur musuh-musuh bersama-sama Sehingga
kau lihat keluarga Kaisar musnah."
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan
beraninya dan bersyair,
"Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas
tidak goncang Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal
cemerlang Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap
anak-anaknya sendiri Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk
mempertahankan diri Dapatkan kemenangan yang bakal membawa kegembiraan di dalam
hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."
Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat
menyusul abang- abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak
jantan Dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau
aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang
bahaya, dan musnah mangsa oleh senjataku."
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad
bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di
garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan
dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di
barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang
tahan lasak itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan
memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan
menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang
lainnya. Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka.
Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari
lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air
sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya
sebahagian kecil saja yang dapat menyelamatkan diri.
Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira
tentera Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan
Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada
itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera
Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya
telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan
hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,
"Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku
dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengharapkan dari Tuhanku, agar Dia
mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para
perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan
pertempuran Kadisia. Dari peristiwa peperangan itu pula wanita penyair ini
mendapat gelaran kehormatan 'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang
yang mati syahid."