Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan
dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang
kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan
ikhlas kerana Allah S.W.T."
Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah
anak gadis orang kaya, lalau memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik
saja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang
bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak
dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan
menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin
dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari
satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah
seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah
tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak
gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan
dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah
perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan
bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam,
maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung
tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya
juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya
menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat
keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir
tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan
bukan dengan tangan kiri."
Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu
tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya.
Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan
kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti
dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan
tangan kananmu itu."
Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun
mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam
keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan
kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir
miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah
tetamu kita. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Barang siapa
menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barang siapa
menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan barang
siapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barang
siapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah
S.W.T."
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya
tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk
bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."