✭ Kelebihan Dan Faedah Berzikir

KELEBIHAN BERZIKIR

Pokok utama berzikir ialah menghayati akan kelebihan berzikir yang warid atau yang ditegaskan oleh al- Quran dan hadis iaitu waktu pagi, petang, siang dan malam serta memperlazimkannya dari semasa ke semasa.

Sesungguhnya telah banyak diterangkan di dalam al- Quran dan hadis tentang kelebihan berzikir. Antaranya ialah sebagaimana firman Allah Ta'ala:

وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوْعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوْبِهَا

 سورة طه أية: 130

Tafsirnya: "Dan bertasbihlah kamu dengan memuji Tuhan kamu sebelum terbit matahari dan sebelum masuknya". (Surah Taha, ayat: 130)

Dan firman-Nya lagi:

           وَسَبِّحْ بِالْعَشِيِّ وَالاِبْكاَرِ
       
سورة أل عمران أية : 41

Tafsirnya:" Dan bertasbihlah kamu di waktu pagi dan petang". (Surah al-Imran, ayat: 41)

Rasulullah S.a.w pula bersabda:

مَن صَلَّى الْفَجْرَ فِىْ جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ بِذِكْرِاللهِ حَتَّى

تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَا نَتْ لَهُ كَأَجْرِ حِجَّةٍ
                                                                                                                       وَعُمْرَةٍ تَامَّةٍ

 رواه الترمذي

Ertinya: " Sesiapa sembahyang subuh
berjemaah kemudian ia duduk berzikir akan Allah hingga naik matahari kemudian ia sembahyang dua rakaat maka adakah  baginya seperti pahala mengerjakan haji dan umrah yang sempurna". (Riwayat Al-Tarmizi)


Dan sabdanya lagi:

لَأَنْ أَجْلِسَ مَعَ قَوْمٍ يَذْكُرُوْنَ اللّهَ تَعَالىَ مِنْ

صَلاَةِ الْعَصْرِ إِلَى أَنْ تَغْربَ الشَّمسُ أَحَبَّ إِلَىَّ مِنْ

                       أَنْ أَعْتِقَ أَرْبَعَةً مِنْ وَلَدِ إِسْماَعِيْلَ

  رواه ابو داود
      
Ertinya: " Duduklah bersama-sama kumpulan yang berzikir kepada Allah S.w.t daripada sembahyang Asar hingga masuk matahari adalah lebih kasih kepada-Ku daripada memerdekakan empat kemerdekaan  daripada anak Nabi Ismail. (Riwayat Abu Daud)

Sementara umat Islam menegaskan pula bahawa sehampir- hampir jalan yang menyampaikan ingatan yang kuat kepada Allah S.w.t ialah menghayatkan atau menggunakan sepenuh masa dengan berwirid atau berzikir. Maka sebaik- baik waktu berwirid pada siang hari iaitu selepas subuh dan asar sebagaimana yang ditegaskan pada ayat yang tersebut di atas dan sesiapa yang diberi taufik dan hidayah berbuat demikian keseluruhannya maka adalah satu- satu nikmat dan kelebihan daripada Allah yang diberikan kepadanya dan berbahagialah mereka. Sementara mereka yang lemah daripada berbuat demikian maka memadailah dengan sekadar yang terdaya walaupun satu zikir sahaja.

FAEDAH BERZIKIR

Bermula faedah berzikir itu sangat banyak. Di antaranya ialah menghalau dan menegah syaitan daripada menghampiri atau menggodai manusia. Maka cukup dengan satu zikir untuk menghalau syaitan kerana syaitan tidak boleh hampir kepada seseorang kecuali kepada mereka yang lalai daripada berzikir. Begitu juga bahawasanya berzikir itu meredhakan Allah S.w.t dan menghilangkan dukacita dan sugul di hati serta menjernihkan perasaan di samping menarik pula kepada kesukaan lebih- lebih lagi mereka yang bersedarah sedaging dengan berzikir. Kerana penyakit hati atau menggelapkan hati ada dua oerkara. Pertama: Lalai. Kedua: Dosa. Sementara yang menerangkan hati pula ada dua perkara. Pertama: Zikir. Kedua: Beristighfar. Maka sesiapa yang dikuasai oleh kelalaian sepanjang waktunya maka kegelapan hatinya adalah tebal. Apabila tebal kegelapannya maka jadilah kepadanya benda yang salah dikatakan betul dan benda yang betul dikatakan salah dan hatinya pula semakin hari semakin gelap dan pudar. Maka inilah maksud yang difirmankan oleh Allah S.w.t:

        كَلاَّ بَلْ رَانْ عَلى قُلُوْبِهِمْ مَكَانُوْا يَكْسِبُوْنَ

سورة المطففين, أية 14

Ertinya: "Tidak sekali- kali demikian itu, bahkan apa- apa yang diusahakan itu adalah menutup hati mereka sahaja". (Surah Mutaffifin, ayat: 14)