Dari Abu Hurairah R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya: "Apabila Allah hendak membahagiakan seseorang hamba-Nya, Allah S.w.t menyeru Jibrail dengan berfirman: 'Sesungguhnya Allah kasihkan si Anu maka hendaklah engkau mengasihinya', Jibail pun mengasihinya, kemudian Jibrail mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit, katanya:" Sesungguhnya Allah kasihkan Si Anu maka hendaklah kamu sekalian mengasihinya', dengan itu penduduk langit pun mengasihinya, setelah itu orang yang tersebut dikasihi dan diberi sambutan di bumi. Dan apabila Allah S.w.t bencikan seseorang hamba-Nya, Allah memanggil Jibrail serta berfirman:' Sesungguhnya Allah bencikan si Anu maka hendaklah engkau bencikan dia, Jibrail pun membencinya, kemudian Jibrail mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit, katanya: 'Sesungguhnya Allah bencikan si Anu maka hendaklah kamu sekalian ', dengan itu penduduk langit pun membencinya, setelah itu orang yang tersebut dibenci dan dipulaukan dibumi."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Hadis ini menerangkan bahawa sifat- sifat dan amalan yang baik menyebabkan orang yang mempunyainya dikasihi Allah dan oleh sekalian makhluk, yang memahami baik dan buruk, dari penduduk langit dan bumi. Demikian pula sebaliknya.

Tujuan pengisytiharan kasih atau benci tersebut, yang dibuat untuk orang itu, ialah sebagai memberi nilai yang sewajarnya, supaya kesan kebaikan dan kejahatan itu dapat dirasai oleh orang yang mempunyainya dalam dunia ini sebelum ia menerimanya di akhirat kelak dengan sepenuhnya.