Dari Abu Hurairah R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya:" Apabila bermula malam dari bulan Ramadhan..menyerulah Malaikat, katanya:' Wahai orang yang mencari dan berkehendak kebaikan! Tampillah mengerjakannya, dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan, berhentilah dari meneruskannya dan  (ketahuilah) Allah banyak membebaskan orang- orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya.' Seruan dan keampunan yang demikian, ada pada tiap- tiap malam (dalam bulan yang tersebut)."
(Hadis Riwayat Tarmizi dan An-Nasa'ie)


Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia dan diberkati Allah, tiap- tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya digandakan pahalanya.

Dalam hadis ini Rasulullah S.a.w menyatakan bahawa apabila tiba bulan Ramadhan, Malaikat menyeru Manusia menggunakan peluang yang baik itu dengan mengerjakan amal- amal kebajikan lebih dari biasa, dan sebaliknya mana- mana yang hendak melakukan kejahatan janganlah mereka terdorong melakukannya.

Malaikat juga menerangkan di dalam jawapannya itu kemurahan Allah S.w.t membebaskan orang- orang yang berdosa yang dijanjikan dengan azab siksa. Semoga peluang yang baik dalam bulan yang mulia itu digunakan dengan sepenuhnya.