Al- Quran telah menegaskan bahawa yang berhak disembah itu ialah Allah. Hal ini dijelaskan pula oleh Rasulullah S.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al- Bukhari dan Muslim dari Mu'az Bin Jabal, Rasulullah bersabda: Maksudnya: " Sesungguhnya hak Allah atas hamba-Nya ialah supaya mereka menyembah-Nya (Allah), dan tidak menyekutukannya dengan dengan sesiapa pun (sesuatu pun). Dan hak hamba atas Allah ialah bahawa Allah tidak akan menyeksa orang yang tidak menyekutukannya-Nya (Allah)."
(Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)
Dari ayat- ayat Al- Quran dan hadis tersebut, nyatalah bahawa tujuan hidup manusia di dunia ini adalah untuk beribadat berbakti dan mengabdi kepada Allah, pencipta alam semesta. Sebab itu, setiap manusia yang sudah mukallaf dan berakal baligh, patutlah menginsafi siapakah dirinya. Di samping itu hendaklah mengerti bahawa dirinya adalah manusia yang lemah yang diciptakan oleh Allah, dan dia adalah makhluk yang berakal yang telah dibebankan oleh Allah S.w.t, dan dibebankan kepada kewajipan berbakti dan beribadat kepada Allah. Beribadat dan berbakti kepada Allah itu pula tidak terbatas kepada mengerjakan sembahyang, berpuasa, dan naik haji sahaja. Bahkan beribadat kepada Allah itu meliputi juga pekerjaan-pekerjaan dan amalan- amalan yang baik, yang dilakukan kerana Allah semata- mata. Itulah yang dinamakan ibadat, dan untuk itulah gunanya dan tujuan manusia hidup di dunia ini. Pekerjaan dan amalan yang baik yang dasarnya kerana Allah itulah disebut ibadat, dan jika dasarnya bukan kerana Allah, itu dinamakan riak dan untuk kemegahan dunia sahaja.
Justeru itu, dapatlah diambil kesimpulan bahawa setiap perbuatan atau amal kebajikan dapat ditingkatkan menjadi ibadat, walaupun perbuatan- perbuatan dan amal kebajikan itu nampaknya berhubung dengan urusan- urusan yang sepintas lalu kelihatan mengenai soal- soal yang bersangkutan dengan keduniaan.
Sebab itu seorang piun, kerani, kakitangan dan pegawai- pegawai kerajaan yang sedang menjalankan tugas masing- masing di pejabat, seorang buruh yang sedang mengeluarkan peluh dengan menggunakan tulang empat kerat bekerja di kilang- kilang dan bermandikan keringat dipanas cahaya matahari yang terbit, seorang guru yang sedang mengajar anak- anak, seorang penuntut atau mahasiswa yang memerah otak menuntut di universiti, atau seorang petani yang bercucuk tanam di sawah ladang, seorang nelayan menggadaikan nyawa di tengah laut menangkap ikan, dan lain- lain pekerjaan atau tugas yang mendatangkan kebaikan dan kebajikan, semuanya dapat dijelmakan menjadi ibadat dengan syarat diniatkan kerana Allah.
Berhubung dengan ini, bukanlah dengan semudah itu pula segala pekerjaan dapat dimasukkan dalam pengertian ibadat. Segala pekerjaan yang baik dan amalan yang berkebajikan hanya boleh dikategorikan atau digolongkan dalam pengertian ibadat apabila memenuhi syarat- syarat tertentu.
Syarat- syarat yang membolehkan pekerjaan itu dapat ditingkatkan kepada ibadat ialah:-
1) Amalan atau pekerjaan yang dilakukan itu diakui atau dibenarkan oleh ajaran islam, sesuai dengan hukum- hukum syariat dan tidak bertentangan dengan hukum atau ketentuan- ketentuan tersebut. Sementara amalan- amalan atau pekerjaan yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti pekerjaan yang ada hubungan dengan riba, kerja- kerja di kelab- kelab malam, tempat minum arak, tempat pelacuran, menipu, melakukan rasuah dan memberi rasuah, berjudi, mencuri dan sebagainya dari perbuatan yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya, maka itu tidaklah dapat ditingkatkan menjadi ibadat walaupun umpamanya dengan maksud dan tujuan yang baik. Umpamanya, merompak harta di rumah seseorang dengan maksud hasilnya dapat dipergunakan untuk membantu fakir miskin, atau melakukan rasuah untuk mencukupi atau menanggung perbelanjaan keluarga, maka perbuatan itu tidaklah boleh dimasukkan dalam pengertian ibadat.
2) Amalan atau pekerjaan yang dilakukan hendaklah dikerjakan dengan niat yang baik iaitu hendaklah dipasang (dibuhul) niat yang baik itu pada setiap pekerjaan. Sesungguhnya amal yang disuruh dan diredhai oleh Allah yang dilaksanakan kerana Allah semata- mata itu gunanya adalah demi untuk memelihara kehormatan diri, untuk kepentingan keluarga, anak isteri, kemanfaatan umat dan negara, serta untuk memakmurkan dan memajukan bumi Allah ini.
3) Amal dan pekerjaan itu hendaklah dilakukan dengan tekun dan penuh keyakinan atau dengan sebaik- baiknya bagi menepati kehendak hadis Nabi Muhammad S.a.w yang bermaksud: " Sesungguhnya Allah suka apabila kamu mengerjakan amal- amal yang diyakini (kebaikan dan kebenarannya)".
(Hadis Riwayat oleh Baihaqi)
4) Kita melakukan amal atau perbuatan itu hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum Allah S.w.t. Tegasnya pekerjaan itu hendaklah tidak melanggar atau bertentagan dengan ajaran Islam, jangan berbuat kejam, tidak khianat, tidak menipu, dan tidak menindas hak orang lain.
5) Dalam mengerjakan kerja atau amal yang bersifat duniawi, hendaklah jangan pula lalai dan meninggalkan kewajipan- kewajipan agama atau pekerjaan yang telah dibebankan kepada seorang itu seperti kewajipan sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji apabila telah cukup syarat- syaratnya. Tegasnya apabila urusan- urusan duniawi itu dilakukan, hendaklah jangan pula melalaikan atau kita meninggalkan kewajipan- kewajipan yang terpikul ke atas diri kita masing- masing yang tentunya mempunyai kewajipan beribadat kepada Allah. Ini sesuai dengan firman Allah S.w.t dalam Surah Al- Munafiqun, yang bermaksud:" Hai orang- orang yang beriman! Janganlah harta- harta kamu dan anak- anak kamu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Sesiapa yang berbuat demikian, mereka itulah orang- orang yang rugi."
Justeru itu, apabila seorang Islam memelihara atau menjaga syarat- syarat seperti yang dihuraikan di atas dalam mengendalikan atau melakukan pekerjaan masing- masing, maka dia adalah dapat dianggap seorang yang melakukan ibadat, walaupun dia tidak berada di tempat- tempat ibadat ketika melaksanakan kerja- kerja itu.
Dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa :" Seorang lelaki berjalan di hadapan Rasulullah S.a.w, maka nampak oleh sahabat- sahabat tentang ketangkasan dan kecergasan lelaki itu, lalu mereka berkata:" Ya Rasulullah! Alangkah baiknya lelaki itu menjadi tentera di jalan Allah (dalam berjihad bagi menegakkan agama Allah, kerana itulah seutama- seutama ibadat dalam pandangan mereka), Rasulullah S.a.w pun bersabda:" Sekiranya lelaki itu bekerja untuk menanggung sara hidup anak- anaknya yang kecil, maka itu berjuang dijalan Allah, dan sekiranya dia keluar bekerja dengan tujuan menyara ke dua ibu bapanya yang sudah tua, maka itu adalah berjuang di jalan Allah, dan jika dia keluar bekerja untuk memelihara kehormatan dirinya, maka ia pun berjuang di jalan Allah, dan jika sekiranya dia keluar bekerja kerana menunjuk- nunjuk dan untuk bermegah- megah, maka itu adalah jalan syaitan."
(Hadis Riwayat Al- Tabrani)
Dari kelima- lima syarat di atas, maka niat adalah menjadi syarat yang utama yang membolehkan samada amal itu dapat dimasukkan dalam hadis tadi. Imam muslim, Al- Nasa 'ie dan Imam Tarmizi meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah S.a.w bersabda yang bermaksud (diringkaskan):" Bahawa orang yang mula- mula dikira (dihisab) amalannya daripada manusia itu pada hari kiamat ialah:
(1) Orang yang mati syahid, ketika ia menghadiri perbicaraan di hari kiamat maka dikenalkan kepadanya nikmat- nikmat Allah kepadanya, maka Allah menyoal: " Apa yang engkau telah buat terhadapnya?". Dia menjawab :" saya telah berjuang dan berpegang untuk Engkau Ya Allah sehingga aku mati syahid." Allah berfirman:" Engkau bohong, tetapi engkau sebenarnya berperang supaya engkau dikatakan berani", kemudian orang itu dihumbankan ke dalam neraka.
(2) Orang alim dan pandai membaca Al-Quran. Allah berfirman:" Apa yang engkau telah perbuat terhadapnya?" Orang itu menjawab:" aku belajar (menuntut ilmu) dan mengajarkannya, dan aku membaca Al- Quran adalah kerana Engkau Ya Allah." Allah berfirman:" Engkau berdusta, tetapi sebenarnya engkau belajar supaya engkau dikatakan seorang Qari'." Kemudian orang itu dicampakkan ke dalam neraka.
(3) Orang yang dikurniakan oleh Allah dengan harta kekayaan. Allah berfirman:" Apa yang engkau perbuat terhadapnya?" Ia menjawab:" Harta itu telah aku belanjakan semata- mata kerana Engkau Ya Allah." Allah berfirman:" Engkau berdusta, tetapi sebenarnya engkau berbuat demikian supaya engkau dikatakan "orang pemurah", kemudian orang itu dihumbankan ke dalam api neraka".
Demikian gambaran daripada hadis tadi mengenai beberapa perbuatan, sungguhpun pada zahirnya perbuatan itu adalah baik, seperti pergi berperang, menuntut ilmu dan mengajarkannya, membaca Al- Quran dan bersedekah, tetapi jika perbuatan- perbuatan itu dilakukan dengan niat bukan kerana Allah, bahkan ia dilakukan kerana dunia, seperti supaya "dipuji" kerana keberanian, disanjung sebagai Qari' yang masyhur, supaya digelar sebagai seorang yang pemurah, maka niat supaya dapat pujian, sanjungan dan gelaran itu bukanlah kerana Allah namanya. Jadi berdasarkan hadis ini orang- orang yang berniat bukan kerana Allah itu seperti orang- orang yang digambarkan dalam hadis tersebut akan dimasukkan ke dalam neraka.
Agama Islam juga mempunyai pandangan dan penilaian yang luas tentang pengertian ibadat itu, sehingga harta benda kita sendiri, apabila dicuri umpamanya, kemudian kita niatkan harta yang hilang itu sebagai sedekah, maka hal itu sudah menjadi ibadat yang diberi pahala. Dalam sebuah hadis Rasulullah S.a.w pernah menyatakan, maksudnya:" Seorang muslim yang menanamkan pokok atau tumbuh- tumbuhan kemudian buah (hasilnya) atau tanaman itu dimakan oleh burung atau manusia atau binatang, maka hal itu menjadi sedekah (ertinya menjadi ibadat)."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sementara itu pula yang menjadi jiwa atau roh ibadat itu ialah kecintaan kepada Allah sebagai pencipta makhluk dan alam semesta ini. Kecintaan kepada Allah itulah merupakan nadi penggerak, pendorong dan menjiwai diri kita untuk tekun dan tetap melaksanakan ibadat. Dalam hubungan ini Ibnu Al- Qayyum menyatakan:" Dasar ibadat adalah mencintai Allah, ditegakkan dengan cinta, Cinta itu keseluruhannya adalah untuk dan kerana Allah. Tidak ada cinta yang lain yang serupa dengan cinta kepada Allah." Cinta kepada Allah itulah yang menjadi unsur yang penting dan yang menjiwai setiap ibadat.
Cinta erat hubungannya dengan hati nurani atau jiwa. Cintalah yang mematrikan seorang ibu atau bapa dengan anaknya. Kerana kecintaan kepada anak, setiap ibu atau bapa menumpahkan atau menumpukan fikiran, perhatian dan usahanya untuk kemajuan dan kepentingan anaknya, walaupun untuk itu mereka menghadapi penderitaan dan menanggung berbagai penderitaan. Kerana kecintaan seseorang kepada tanah air dan negaranya, maka dia bersedia berkorban kerananya, kadang- kadang biar dirinya hancur laksana lilin, asalkan tetap memberikan cahaya kepada alam sekitarnya.
Adapun cinta kepada Allah, sebagai satu- satunya jiwa atau roh ibadat, sepatutnya melebihi dari kecintaan terhadap kepada yang lain- lain. Seorang Muslim yang melakukan ibadat hendaklah bersumber kepada Allah melebihi kecintaan kepada yang lain- lain.
Dasar utama bagi kecintaan kepada Allah itu ialah iman, iaitu kepercayaan yang mutlak terhadap kemahakuasaan Allah. Mukmin yang kuat dan teguh imannya akan lebih cinta kepada Allah dari seorang mukmin yang lemah imannya. Seorang yang cinta kepada Allah pasti cinta pula kepada-Nya seperti yang dilukiskan dalam Al- Quran: " Dia (Allah) mencintai mereka (orang- orang yang beriman) dan mereka pun cinta kepada-Nya."
(Surah Al-Maidah, ayat 45)
Hal ini ditegaskan oleh Allah S.w.t dalam Al- Quran: " Orang- orang yang beriman lebih cinta kepada Allah."
(Surah Al-Baqarah, ayat 165)
Dalam hubungan ini ketika ditanya oleh salah seorang sahabat kepada Rasulullah S.a.w: " Apakah iman itu? ", Maka Rasulullah S.a.w menjawab: Maksudnya: "Hendaklah Allah dan rasulnya lebih engkau cintai daripada yang lain dari keduanya."
(Hadis Riwayat Ahmad)
Orang yang mencintai Allah melebihi daripada mencintai yang lain menunjukkan bahawa dia telah mempunyai iman yang sempurna.
Rasulullah S.a.w dalam sebuah hadis yang lain: " Barangsiapa yang cinta kerana Allah, benci kerana Allah, memberi kerana Allah dan mencegah kerana Allah, maka sesungguhnya Dia telah mencapai darjat iman yang sempurna."
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Wallahu a'lam..
..kembali semula..