✭ Konsep Ibadat




Apabila disebut Islam, maka kerapkali ia dikaitkan dengan ibadat, sehingga ramai orang beranggapan bahawa agama Islam itu hanya berhubung dengan ibadat sahaja, iaitu hubungan seorang hamba dengan penciptaanya Allah S.w.t. Selain dari itu, ada juga yang masih samar- samar dengan pengertian ibadat itu. Perkataan "ibadah" itu adalah berhasil dari Arab, tetapi telah juga kita gunakan dalam bahasa melayu dengan sebutan "ibadat".

Dalam sebuah kamus disebutkan bahawa erti ibadat itu ialah kebaktian kepada Tuhan. Perbuatan untuk menyatakan bakti kepada Tuhan itu pula ialah seperti sembahyang, berdoa, berbuat baik dan sebagainya. Dalam bahasa asalnya, perkataan ibadat itu diambil dari kata kerja "'Abada" ertinya menurut bahasa ialah merendahkan diri, khidmat, patuh dan taat.

Ditinjau dari segi istilah pula, seperti yang dirumuskan oleh seorang ahli bahasa Arab Al- Raghib Al- asfahani dalam bukunya "Al- Maradat fi gharib Al-Quran" menyatakan bahawa ibadat itu ialah menunjukkan kerendahan diri terhadap suatu kuasa yang berhak menerima puncak pengabdian (penyembahan) iaitu Allah S.w.t, sebagaimana disebutkan di dalam Al- Quran:
"Bahawa janganlah kamu menyembah selain kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira kepada kamu daripadanya (Allah)".

(Surah Hud, ayat 2)

Dalam surah Al-Haj, ayat 77, Allah S.w.t berfirman: " Wahai orang- orang beriman! Rukuk dan sujudlah kamu dan sembahlah (beribadatlah) kepada Tuhan kamu, dan lakukanlah kebaikan, mudah- mudahan kamu beroleh keberuntungan (kemenangan)."

Seorang ulama' Islam yang terkenal doktor yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya "Al-ibadat fi Al-Islam" (ibadat dalam Islam) telah menghuraikan pandangan Ibnu Taimiyah berhubung dengan pengertian ibadat, iaitu "tiap- tiap perkataan dan perbuatan, batin dan zahir yang disukai dan diredhai oleh Allah S.w.t. Umpama sembahyang, zakat, puasa, naik haji, bercakap benar, menunaikan amanah, taat setia kepada kedua ibu bapa (berbuat baik kepada mereka), mengadakan silatulrahim, menepati janji, menyeru atau menyuruh kepada kebaikan, mencegah dari melakukan kejahatan,  berjihad menentang orang- orang yang ingkar dan munafik, berbuat baik kepada jiran tetangga, belas kasihan kepada anak- anak yatim, membantu orang- orang miskin serta orang- orang yang kehabisan bekalan dalam perjalanan, berbuat ihsan kepada makhluk haiwan, berdoa, berzikir dan membaca Al-Quran adalah termasuk dalam pengertian ibadat.

Termasuk juga dalam pengertian ibadat itu ialah mencintai Allah dan cintakan rasulnya, takut/bertaqwa kepada Allah, khusuk, ikhlas dalam mengerjakan suruhan- suruhan agama, bersabar menerima hukum- hukum Allah, bersyukur terhadap segala nikmat dan anugerah Allah, redha dengan qada' qadar Allah, berserah diri atau bertawakkal kepada-Nya, mengharapkan rahmat-Nya dan takut kepada siksa azab Allah.

Dari huraian tersebut nyatalah bahawa pengertian ibadat itu adalah sangat luas bidangan. Ia juga meliputi akhlak yang mulia dan semua sifat- sifat utama seperti bercakap benar, menyempurnakan tugas dan kewajipan, melaksanakan amanah dan tanggungjawab, menepati janji, jujur, ikhlas, melaksanakan ajaran- ajaran agama, meninggalkan segala larangan- larangan Allah dan memperkatakan sifat- sifat yang terpuji seperti bersikap adil dan lurus, yang diamalkan dalam kehidupan sehari- hari.

Tegasnya dapatlah dikatakan bahawa semua perkara yang diperintahkan oleh Allah supaya kita sebagai hamba-Nya melaksanakan dan mengerjakannya adalah dikira ibadat. Ini sudah tentu secara langsung atau dengan tidak langsung berhubung rapat dengan kelakuan, tindakan dan akhlak kita dalam kehidupan seluruhnya dan merangkumi segala urusan- urusan hidup kita dari perkara- perkara yang kecil termasuk tata susila dan kesopanan seperti cara makan minum, menghormati tetamu, hinggalah kepada urusan- urusan yang besar seperti pemnentukan dan pentadbiran negara, soalan siasah/politik, urusan kewangan/ekonomi dan perdagangan, keamanan dan ketenteraman, hal ehwal perhubungan seorang dengan seorang, antara satu bangsa dengan bangsa atau umat lain, dan tindakan ke atas melakukan kesalahan jenayah, bahkan ibadat itu meliputi segala asas perhubungan antarabangsa samada dalam masa perang atau damai.

Dalam hubungan ini seorang ulama' Islam yang terkenal di abad ke 20 iaitu 'Abdul 'Ala Al-Maududi dalam bukunya "Toward Understanding Islam" memberi kesimpulan mengenainya luasnya pengertian ibadat itu seperti berikut: "Jika dalam percakapan dengan seseorang, kita menjauhi perkataan kotor dan keji, maka percakapan itu sudah termasuk ibadat. Kalau kita mematuhi peraturan- peraturan/ hukum- hukum yang telah ditentukan oleh Allah dalam hubungan perdagangan dan ekonomi, bergaul dengan anak isteri, sanak saudara, keluarga dan sahabat handai, maka perbuatan kita itu sudah termasuk dalam pengertian ibadat.

Kalau kita bekerja di sebuah perusahaan (atau bertugas dengan pihak kerajaan) dan selama bekerja itu kita sentiasa memelihara dan bersikap jujur dan ikhlas serta patuh, tidak merugikan, meragui atau menzalimi orang lain, disebabkan takut kepada Allah, maka perbuatan kita itu adalah dikira ibadat.

Jika kita membantu orang- orang miskin dan orang- orang yang dalam kesusahan, memberi makan orang- orang yang lapar, meriwayat dan melayani orang- orang sakit, dan kita lakukan perkara- perkara itu bukan mengharapkan keuntungan diri sendiri (dan bukan untuk mencari pengaruh atau supaya nama menjadi terkenal), tetapi semata- semata kerana mengharapkan keredhaan Allah, maka perbuatan kita itu sudah termasuk dalam pengertian pengertian ibadat.

Pendeknya segala kegiatan kita dalam arena kehidupan ini dapat dijadikan ibadat dengan syarat sesuai dengan peraturan- peraturan atau ketentuan- ketentuan Allah dan kita niatkan sebagai pengabdian kepada Allah S.w.t.

Malah sesiapa yang makan dengan niat untuk menjaga kelangsungan hidupnya dan memperkuat tubuh supaya dapat melaksanakan kewajipan  untuk berkhidmat kepada Allah dan umat manusia, maka makan dan minumnya itu dapat dinilai sebagai amal ibadat dan pendekatan diri kepadanya. Begitu juga, barangsiapa melepaskan syahwatnya (melakulan persetubuhan)  kepada isterinya dengan niat untuk mendapatkan anak, atau kerana untuk menjaga diri dan keluarganya dari perbuatan maksiat, maka pelepas syahwat atau (persetubuhan) tersebut dapat dinilai sebagai ibadat yang berhak mendapat pahala. Rasulullah S.a.w pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Al- Bukhari dan Muslim yang maksudnya: " Pada kemaluan kamu itu ada sedekah." Para sahabat kemudian bertanya : " Apakah kalau kita melepaskan syahwat (melakukan persetubuhan) itu juga mendapat pahala?" Nabi S.a.w menjawab: " Apakah kalau dilepaskan syahwatnya pada yang haram, sia juga akan beroleh dosa? Maka begitu jugalah halnya kalau dia lepaskan syahwatnya pada yang halal (melakukan persetubuhan dengan isterinya), dia pun akan mendapat pahala." (Hadis Riwayat Bukjari dan Muslim)

Dalam satu riwayat yang bermaksud: " Barang siapa mencari rezeki yang halal dengan niat untuk menjaga diri supaya tidak meminta- meminta (menjadi pengemis), dan berusaha untuk menanggung keluarganya, seeta supaya dapat ikut berbuat baij kepada tetangganya, maka kelak akan bertemu dengan Allah (di akhirat) sedang wajahnya bagaikan bulan di malam purnama." (Hadis diriwayatkan oleh Al-Tabrani)

Sebab itu pengertian ibadat bukan hanya terbatas kepada ibadat sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat, naik haji, serta lain- lain ibadat yang seumpamanya yang berhubung dengan Allah semata- mata, malah pengertian ibadat itu termasuk juga perbuatan- perbuatan yang baik, akhlak yang terpuji, hubungan yang baik sesama makhluk, adab sopan yang tinggi serta semua perbuatan dan amalan yang dilakukan kerana Allah semata- mata. Ini sesuai dengan firman Allah di dalam Al- Quran bahawa manusia dijadikan oleh Allah di permukaan bumi ini mempunyai tujuan dan matlamat yang tertentu iaitu untuk beribadat, menyembah dan mengabdi kepada Allah S.w.t kerana pengertian ibadat itu sendiri meliputi seluruh urusan kegiatan manusia. Firman Allah S.w.t: Maksudnya: " Dan Aku (Allah) tidak mencipta Jin dan Manusia melainkan supaya menyembahku (beribadat kepada Allah)"
(Surah Al- Zariat, ayat 56)

Makhluk manusia dan jin diperintahkan supaya melakukan ibadat ( pengabdian) kepada Allah semata- mata. Dalam Al- Quran ditemui sebanyak 277 ayat berhubung dengan soal ibadat dan pengabdian itu. Ayat- ayat yang berkenaan dengan perintah untuk beribadat dan mengabdi diri kepada Allah pada umumnya ditujukan kepada umat manusia secara keseluruhannya. Salah satu ayat- ayat itu menyatakan: Maksudnya: " Hai Manusia! Sembahlah Tuhan kamu yang menciptakan orang- orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu terpelihara dari kejahatan . Dialah (Allah) yang yang mencipta bumi untuk hamparan bagi kamu dan langit sebagai atap (binaan). Dia turunkan hujan dari langit, maka tumbuhlah kerananya buah- buahan untuk rezeki bagi kamu. Oleh itu janganlah kamu menyekutui Allah, sedangkan kamu mengetahui."
(Surah Al-Baqarah, ayat 21-22)

Banyak lagi ayat- ayat dalam Al-Quran yang merangkakan kewajipan beribadat kepada itu dengan nikat- nikmat yang dikuniakannya kepada umat manusia, yang jumlahnya tidak terhingga. Semua ayat- ayat itu mengandungi nilai- nilai pendidikan dan anjuran agar manusia itu beribadat dan mengabdi kepada Allah, sebagai tanda bersyukur dan berterima kasih..baca lagi..