✭ Masih Adakah Wanita Seperti MARYAM?


Kartun muslim hamil
Al-Imam Al-Razi yang meninggal dunia pada tahun 606 hijrah Rahimahullahu Ta'ala telah berkata bahawa Nabi Adam A.s itu bapa manusia yang paling awal, dan telah ia sabitkan dengan dalil akli, dari Al-Imam Ibnu Kasir yang meninggal dunia tahun 774 hijrah berkata bahawa Nabi Adam A.s itu dijadikan Allah S.w.t dengan tiada berbapa dan beribu dan Nabi Isa A.s diperanakkan oleh ibunya dengan tiada berbapa dan anak- anak Adam yang lain atau manusia itu diperanakkan daripada dua ibu bapa.

Adapun pandangan dan pendapat Darwin yang mengatakan manusia itu berasal dari binatang atau monyet, kera dan sebagainya adalah berlawanan dengan nas quran dan mendustakan Allah dan rasul-Nya Nabi Muhammad S.a.w kerana iman itu percayakan Allah dan rasulnya serta Al-Quran, dan lain-lain seumpamanya (sebagaimana yang tersebut dalam rukun iman).

Allah S.w.t menerangkan dalam Al-Quran bahawa Nabi Isa A.s itu diperanakkan oleh ibunya Maryam A.s dengan tiada berbapa, sebagaimana juga Allah S.w.t telah jadikan Nabi Adam A.s dengan tiada berbapa dan beribu, kerana menolak tuduhan orang- orang Nasrani yang membantah dengan mengatakan Nabi Isa itu anak tuhan kerana ia diperanakkan oleh ibunya dengan tiada berbapa, kepercayaan orang- orang nasrani yang semacam ini ialah kepercayaan yang direka-reka dan agama nasrani yang direka- reka itu berlawan dengan agama nasrani yang asal yang telah dibawa oleh Nabi isa A.s, yang datang daripada Allah s.w.t, dan berlawanan dengan dalil akli sebagaimana yang tersebut dalam kitab- kitab tauhid bahawa Allah S.w.t  itu menyalahi segala yang baru dan Allah berfirman, maksudnya:" Tiada sesuatu yang seumpama Allah S.w.t". (Surah As-Syura, ayat 11). Sebagaimana yang disebut oleh Al-'Alamat As-Syeikh Mustafa Sabri Syeikh Al-Islam kerajaan Bani Usman Turki dalam kitabnya 'Mauqaful 'Akal wal 'ilmu wal 'Alim mirrabil a'lamiin wa 'ibadahul mursalin'.

Dari perkataan Al-imam Al-Razi tadi yang mengatakan  bahawa Nabi Adam A.s itu bapa yang pertama bagi manusia dan ia telah sabitkan dengan dalil aqal, selain dari nas quran  dan hadis dan iktikad kepercayaan umat Islam pada nabi Adam A.s itu dan telah tersebut dalam kitab-kitab tauhid bahawa Nabi Adam A.s itu awal Rasul daripada rasul- rasul Allah, kita dapat faham bahawa tiap- tiap manusia atau anak Adam itu dijadikan daripada ibu dan bapa, dikecualikan Nabi Isa A.s bagaimana tersebut dalam Quran dalam Ali 'imran ayat 59.

Maksudnya: "bahawa umpama keadaan isa itu di sisi Allah seumpama keadaan Adam, ia telah jadikannya dari tanah, kemudian ia berfirman jadilah kamu maka jadilah ia (Adam)".
Allah S.w.t menjadikan Nabi Isa daripada ibu tiada berbapa samalah juga dengan Allah S.w.t menjadikan nabi Adam dari tanah dengan tiada berbapa dan beribu, semuanya itu dengan kehendak kuasa iradat kudrat Allah S.w.t.
Oleh yang demikian, tiadalah siapa anak Adam hingga ke hari ini diperanakkan oleh ibunya dengan tiada berbapa melainkan Nabi Isa A.s. Dari itu jika timbul suatu isu seorang wanita memperanakkan seorag anak padahal ia janda, bukanlah ia seperti Saidatina Maryam melahirkan anaknya Nabi Isa A.s bahkan janda itu sama juga seperti wanita- wanita yang lain.

Adapun di zaman sekarang ada berlaku iaitu wanita/perempuan mengandung dan melahirkan anak tanpa bapa (tanpa berkahwin). Hal ini boleh berlaku dengan dimasukkan air mani lelaki ke dalam rahim wanita itu atau ia menggunakan atau memakai atau memasukkan pakaian- pakaian atau alat- alat yang ada mani orang lelaki pada benda- benda itu.

Ini tersebut di dalam kitab- kitab fekah umat Islam kira- kira seribu tahun dahulu sebelum dicakap dan dibahaskan oleh ilmu doktor moden bahawa terbukti perempuan boleh mengandung (tidak mustahil) sekiranya ia memasukkan mani lelaki dengan cara ilmu doktor moden. Walaubagaimanapun kaedah ini di larang bagi orang Islam dan hukumnya adalah haram dari segi Syarak.

Wallahu a'lam