✭ Rombongan Menteri Besar Kelantan Ke Brunei

Pelaksanaan Hukum Hudud negara tarik perhatian rombongan Menteri Besar Kelantan


RKKDIT1.jpg

BANDAR SERI BEGAWAN - Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dalam ucapannya berkata bersaudara kerana Allah itu sangat tinggi nilainya.

Menurut Yang Berhormat, kalau bersaudara senasab terjadi dengan akad nikah dan menjalani proses akad nikah oleh juru nikah, tetapi bersaudara kerana Allah tidak begitu, tetapi akad itu menjadi urusan Allah sendiri, sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Anfal ayat 63 yang tafsirnya: Dan Dialah yang menyatukan di antara hati-hati mereka yang beriman itu. Sekiranya engkau belanjakan segala harta yang ada di bumi ini untuk menyatukan hati-hati mereka, nescaya engkau tidak akan berupaya menyatukannya. Akan tetapi Allahlah yang menyatukan mereka itu.

Jelas Yang Berhormat, sayugia diingat, anak ibu anak bapa, kadang-kadang tidak berdiri menyebelah kita dalam susah, tetapi bersaudara kerana Allah, mereka tidak berganjak dari menjadi pencinta dan pembela kita.

Yang Berhormat berucap demikian semasa mengalu-alukan lawatan Menteri Besar Kelantan, Yang Amat Berhormat Ustaz Dato' Haji Ahmad bin Yakob dan rombongan ke Jabatan Mufti Darulifta pagi tadi, di sini.

Tambah Yang Berhormat lagi, kita ingati, siapa Abu Lahab? Bapa Saudara Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam.

RKKDIT2.jpeg

"Di pasar-pasar atau di tempat-tempat awam, dia sentiasa berada di belakang nabi, ikut ke mana Nabi berjalan. Apabila dia mendengar Nabi bersuara "Wahai manusia esakanlah Allah," Abu Lahab cepat-cepat memotong, "Jangan kamu percaya, dia adalah anak saudaraku dan dia pendusta," nampak kita? Sampai hati bapa saudara terhadap anak saudaranya. Ini bersaudara senasab," jelas Yang Berhormat.

Berbanding Abu Bakar as-Sidek, ujar Yang Berhormat, beliau bukan saudara Nabi senasab, beliau cuma saudara Nabi kerana Allah, tetapi terhadap Nabi beliau berkata: "Saya menyukai/mencinta tiga perkara, wahai Rasulullah." "Apa dia tiga perkara itu wahai Abu Bakar?" Nabi bertanya. Menjawab Abu Bakar menerangkan: Saya suka memandang tuan (1), juga saya suka duduk berhadapan-berhadapan dengan tuan (2), dan suka membelanjakan harta saya untuk tuan (3).

Yang Berhormat seterusnya berkata, inilah bersaudara kerana Allah, saya terkesan perkara ini sedang berlaku dalam lingkungan sesama kita hari ini, dan malah dari semenjak 17 hari bulan lagi, dan istimewa, ia benar-benar berlaku (bersaudara kerana Allah) itu ialah dalam pertemuan Dato' dan ahli rombongan dengan raja kami pada dua hari lalu.

Ujar Yang Berhormat menambah, saya melihat raja kami begitu ramah dan mesra dengan Dato-Dato, begitu juga di pihak Dato-Dato terhadap baginda.

"Dan amat mengharukan sekali apabila mendengar Yang Amat Berhormat Ustaz Dato Menteri Besar menyembahkan ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan di atas keputusan baginda melaksanakan Kanun Jenayah Syar'iah di negara ini," ungkap Yang Berhormat.

Tegas Yang Berhormat, ini satu titik paling bersejarah dalam lawatan Dato-Dato ke negara ini sebagai pembakar semangat kami lagu untuk selalu istiqamah di dalam mendaulatkan syariat Islam

RKKDIT3.jpeg

Sementara itu dalam ucapan balas Menteri Besar Kelantan antara lain mengatakan Kelantan akan belajar dan memperhatikan serta mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai pelaksanaan hukum Hudud sebagai undang-undang di Negara Brunei Darussalam.

Katanya, Kelantan juga berhasrat untuk melaksanakan hukum serupa tetapi masih menghadapi beberapa halangan walaupun undang-undang dan peraturan-peraturan telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada tahun 1993.

"Jika hukuman itu nanti dapat dilaksanakan di Kelantan ia setentunya akan dapat mengurangkan kadar jenayah kerana kadar jenayah di Kelantan semakin meningkat serta membimbangkan penduduk," terangnya.

Menurutnya lagi, jika nanti Negara Brunei Darussalam dapat melaksanakan hukuman tersebut sepenuhnya ia secara tidak langsung dapat mengangkat keagungan Islam itu sendiri kerana dalam sejarah Islam hukuman itu telah lama berjalan tetapi tertinggal disebabkan perubahan zaman dan kemajuan dunia.

Antara aturcara lawatan pagi tadi termasuk mengadakan sesi perbincangan tertutup antara rombongan Menteri Besar Kelantan bersama Mufti Kerajaan dan Pegawai-Pegawai Kanan.

Selesai sesi perbincangan, rombongan Menteri Besar Kelantan dibawa melawat ke Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS) yang mempamerkan koleksi peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Rombongan Menteri Besar Kelantan terdiri dari 14 ahli dan berada di negara ini bagi lawatan lima hari.


RKKJ1.jpg



RKKPN1.jpg

 

RKKPN2.jpg