✭ Maulidul Rasul Bukan Bidaah





"YA RASULULLAH, sungguh engkau lebih kucintai daripada diriku dan anakku," kata seorang sahabat. " Apabila aku berada di rumah, lalu kemudian teringat kepadamu, maka aku tak akan dapat memendam rasa rinduku sampai aku datang dan memandang wajahmu. Tetapi apabila aku teringat pada mati, aku merasa sangat sedih, sebab aku tahu bahawa engkau pasti akan masuk ke dalam syurga dan berkumpul bersama nabi-nabi yang lain. Sementara aku apabila ditakdirkan masuk ke dalam syurga, aku bimbang tak akan dapat lagi melihat wajahmu, kerana kedudukanku jauh lebih rendah daripada kedudukanmu."

Rasullullah SAW begitu terharu dengan kata-kata itu. Awalnya, baginda tidak memberikan apa-apa ulasan sehinggalah malaikat Jibrail muncul menyampaikan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan barang siapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah; iaitu nabi-nabi, para shiddiqin, syuhada dan orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya." (Surah An-Nisa:69)

Berdasarkan kisah tersebut, dapat dibuat kesimpulan bahawa mencintai Rasullullah mempunyai kesan yang sangat luas dan mendalam, sama ada secara teologi, psikologi, sosiologi ataupun eskatologi. Ini kerana, Rasullullah ialah insan yang amat istimewa, seorang yang begitu besar mempengaruhi kehidupan manusia walaupun baginda sudah pun wafat 1,382 tahun lalu ketika berusia 63 tahun.

Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada 12 Rabiulawal menurut kalendar Islam, iaitu bersamaan 22 April 570 M. Ini bermakna, umur baginda hingga ke saat ini sudahpun memasuki 1,444 tahun dan setiap kali tibanya tarikh itu, umat Islam menyambutnya sebagai usaha mengingati baginda sebagai manusia yang paling baik teladannya. Bahkan, dari segi pengkisahan, peribadi mulia Rasullullah tidak pernah berhenti dikaji, ditulis, dibincang dan dicari kebaikannya kerana baginda ialah pesuruh Allah SWT yang terakhir dan paling berjaya dalam misi menegakkan akhlak manusia.

Tersentak hati dan rasa kesal kerana ada dalam kalangan umat Islam sendiri membuat kenyataan bahawa sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad tidak mempunyai fadilat dan menyimpang.

Lebih menyedihkan apabila mereka yang menggelarkan diri sebagai intelektual Islam pragmatik membenarkan diri menepis tradisi yang telah sekian lama berakar umbi itu. Tidakkah mereka yang menentang sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah pada hari ini sedar, cara itu akan meningkatkan semangat setiap orang Islam untuk merujuk kepada wawasan Islam dan petunjuk yang ditinggalkan oleh baginda?

Tradisi menyambut hari kelahiran Rasullullah pertama kali dimulakan pada tahun 7 Hijrah oleh al-Sultan Muzaffarud-Din Abu Sa'id al-Kukibri ibn Ali ibn Baktatin ibn Muhammad al-Turkamani (wafat 630 H), sultan Irbil (Iraq). Menurut Ibn Katsir dalam kitab Tarikh: Sultan Muzhafar mengadakan Maulid Nabi atau maulud pada bulan Rabiulawal. Ia dirayakan besar-besaran. Beliau ialah seorang yang berani, pahlawan, alim dan seorang yang adil."
Menurut cucu Ibn al-Jauzi bernama Sibth, semasa perayaan tersebut, Sultan Muzhafar mengundang seluruh rakyatnya dan para ulama dari pelbagai disiplin ilmu termasuk ulama dalam bidang fiqh. Ia dirayakan selama beberapa hari dan tiga hari sebelumnya diadakan pelbagai persiapan. Ribuan kambing dan unta disembelih untuk hidangan para hadirin. Semua ulama ketika itu bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Sultan Muzhafar.

Dalam kitab Wafayat al-A'yan, Ibn Khallikan menjelaskan al-Imam al-Hafizh Ibn Dihyah dari Morocco, yang sedang dalam perjalanan ke Iraq pernah singgah di daerah Irbil pada tahun 604 H. Diceritakan bahawa Sultan Muzhafar, raja Irbil itu sangat memberikan perhatian terhadap perayaan maulud Nabi Muhammad SAW. Beliau kemudiannya menulis sebuah kitab mengenai Maulid Nabi berjudul al-Tanwir fi Maulid al-Basyir an-Nadzir dan kitab itu dihadiahkan kepada Sultan Muzhafar. Itulah permulaan yang baik dan hingga kini, perayaan Maulid Nabi terus disambut sebagai salah satu perayaan penting dalam hari-hari kebesaran Islam, termasuk di Malaysia.
Pada 2012, terdapat beberapa pihak mendakwa bahawa sambutan Maulidur Rasul bukanlah suatu perayaan yang wajar diraikan kerana menyamai dengan amalan Nasrani yang meraikan perayaan Krismas. Dakwaan tersebut lebih bersifat politik kerana tujuannya adalah jelas untuk menakut-nakutkan umat Islam. Pihak tersebut turut mendakwa, Maulidur Rasul hanya disambut selepas 200 atau 300 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, maka ia adalah menyamai umat Kristian merayakan hari kelahiran Nabi Isa a.s. menerusi Krismas setiap tahun.
Sebenarnya, tujuan memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah sebagai suatu bentuk dakwah dalam usaha mengembangkan syiar Islam. Ini kerana sepanjang sambutan Maulidur Rasul, ia dipenuhi dengan membaca selawat atau ceramah mengenai junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan melalui pengkisahan itu, umat Islam diharap dapat melakukan perubahan, menambah baik sahsiah di samping mengingati teladan yang diajarkan oleh baginda sebagai pedoman. Ia bukan satu bentuk pemujaan sebagaimana difahami kerana konsep pemujaan tidak wujud dalam ajaran Islam.

Dan kerana itu, Maulidur Rasul turut disambut di kebanyakan negara baik yang majoriti penduduknya Islam ataupun minoriti. Antaranya di Mesir, utara Iraq, Turki, Afrika Utara, China, Iran dan Maghribi.

Penulis teringat kisah pada akhir tahun 1920-an, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Uthman atau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Selehor (datuk penulis), iaitu tokoh ulama yang sezaman dengan Tok Kenali dari Tumpat Kelantan, pernah dikritik hebat oleh akhbar-akhbar perdana waktu itu kerana mempelopori perayaan Maulidur Rasul secara besar-besaran. Sesetengah pihak mengkategorikan sambutan tersebut sebagai bidaah dan sesat kerana ia tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Sebenarnya perayaan Maulidur Rasul adalah hal yang amat digalakkan sebagai wadah bagi melahirkan kecintaan kepada baginda Nabi Muhammad. Mengapa kita wajib mencintai Rasulullah? Kerana baginda sememangnya wajar untuk dicintai. Bagi umat Islam hari ini, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran dan kedatangan junjungan besar Rasulullah SAW ke alam maya ini. Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk alam semesta.

Soalnya, apakah nikmat kedatangan utusan Allah SWT itu dinilai begitu remeh dan hina sekali? Menolak usaha memperingati kehadiran insan mulia ini sebenarnya adalah satu usaha memecahbelahkan perpaduan umat dan sesungguhnya ia adalah satu sikap politik yang terlalu sempit dan jumud.
Perlu difahami walau bagaimana tinggi sanjungan dan selawat yang dipersembahkan kita sebagai umatnya, selama-lamanya pun tidak dapat menandingi jasa dan kelebihan rahmat dan petunjuknya kepada kita. Sebab itulah, kita disuruh sentiasa berselawat dan mengucap selamat kepadanya untuk kebaikan kita sendiri.

Ketika Allah mewajibkan umat manusia untuk mencintai Nabi Muhammad, arahan tersebut jelas bukan satu perintah tanpa tujuan. Namun begitu, tujuan tersebut juga bukan sesuatu yang kepentingannya akan kembali kepada Allah atau Rasul-Nya. Dengan demikian, mencintai Rasulullah adalah satu perintah yang manfaatnya semata-mata untuk kepentingan manusia itu sendiri. Di antara manfaatnya, kita merasakan akan terpaut hati kepada peribadi baginda. Apabila kita jujur dalam mencintai Nabi Muhammad, maka akan terbit kerinduan terhadap baginda.

Hal demikian ini, akan membawa kita untuk mengetahui secara mendalam tentang diri baginda yang mencakupi aspek kehidupan peribadi, keluarga, hubungan sesama Muslim dan sebagainya. Justeru, apabila kita ingin mengetahui sejarah Nabi Muhammad, hendaklah ia diawali dengan rasa cinta terlebih dahulu. Di sinilah, kita akan mengetahui mengapa Allah mewajibkan mencintai Nabi Muhammad.