✭ Asal Usul Kalendar


Stock Vector - Pond5 may 2013 calendar 14583329

Beberapa hari lagi kita semua akan melangkah ke tahun 2014. Pastinya ada yang mempersiapkan azam baru untuk tahun hadapan. Sempena dengan pertukaran tahun ini mari kita ketahui serba sedikit mengenai asal usul kalendar yang kita gunakan bagi merujuk dan mengira hari, bulan dan tahun ini.

Sepertimana yang kita semua ketahui kalendar yang kita gunakan sekarang ini mempunyai 12 bulan dan mengandungi 365 hari. Melalui kalendar kita boleh membuat perkiraan terhadap umur kita dan menghitung setiap detik yang berlaku atau akan datang. Kalendar juga membantu kita membuat ramalan dan perancangan di masa akan datang di samping dapat digunakan sebagai catatan untuk merekodkan peristiwa yang berlaku di masa lalu.

Cuba kita bayangkan apa yang akan berlaku jikalau tidak ada kalendar. Sudah tentu pelbagai masalah akan muncul terutama untuk menghitung umur kita atau menentukan tarikh bagi temujanji. Kalendar yang kita gunakan sebenarnya berasal daripada kalendar yang dicipta oleh para paderi Babylon sejak 3500 tahun yang lalu.

Bagaimanapun, kalendar yang digunakan oleh orang Babylon mempunyai perbezaan dengan kalendar yang digunakan pada masa ini. Ini kerana kalendar Babylon walaupun mempunyai 29 atau 30 hari tetapi jumlah hari dalam setahunnya bukan berjumlah 365 hari sepertimana yang terdapat pada kalendar kita. Sebab itulah kalendar Babylon sentiasa ditambah lebih sebulan bagi pusingan satu tahun. Meskipun asas kalendar yang kita gunakan berasal daripada kalendar ciptaan Babylon tetapi dipercayai kalendar pertama dicipta oleh orang Mesir Purba.

Orang Mesir mula menggunakan kalendar pada tahun 42-41 sebelum Masihi lagi. Kalendar orang Mesir juga mengandungi 12 bulan. Setiap bulan terdiri daripada 30 hari dengan penambahan 5 1/4 hari pada setiap hujung tahun. Kalendar orang Mesir ini lebih tepat perhitungannya jika dibandingkan dengan kalendar orang Babylon. Jadi, adalah tidak keterlaluan kalau kita katakan bahawa kalendar yang digunakan oleh manusia moden dicipta oleh orang Mesir purba.

Meskipun pengetahuan masyarakat purba mengenai sains dan teknologi amat terbatas tetapi mereka mempunyai pengamatan yang tajam terhadap alam sekitarnya. Dengan berpandukan kepada pengamatan kedudukan dan pergerakan Matahari serta Planet, orang Mesir mencipta jam dan kalendar. Kalendar penting dalam masyarakat purba untuk membolehkan mereka membuat ramalan dan persiapan menghadapi perubahan musim.

Sebelum kalendar dicipta manusia mengira hari dengan bersandarkan kepada pertukaran siang dan malam. Mereka mengetahui pertukaran musim berpandukan daun yang gugur dari pokok dan waktu bila ranaman mereka masak. Perkiraan ini menyukarkan masyarakat pada masa itu membuat ramalan yang tepat.

Jadi kalendar dicipta untuk memudahkan mereka mengatur hidupnya terutama di dalam menjalankan aktiviti pertanian yang perlu mengambil kira bila akan berlaku musim tengkujuh, kemarau dan sebagainya. Ini dilakukan dengan berpandukan catatan astronomi yang dibuat oleh mereka yang hidup terdahulu sehinggalah terciptanya kalendar yang boleh digunakan di merata tempat.