✭ Menolak Kejahatan




Ada seorang Professor yang sangat terkenal di kalangan teman- teman sejawatan  sebagai seorang sahabat yang setia. Beliau sangat disayangi pula oleh pelajar- pelajar sebagai seorang pemimpin yang cekap dan guru yang sangat mahir dalam lapangan ilmu pengetahuan.
 
Pergaulannya dengan orang- orang lain sangat ramah dan mesra. Dia boleh dikatakan hidup mewah di samping mempunyai seorang anak tunggal yang sangat dikasihinya. Isterinya sudah lama meninggal dunia.
 
Tetapi sangat menyedihkan sekali seorang yang berilmu pengetahuan tinggi, disanjung dan dihormati, pada hal batinnya sendiri tersiksa dan jiwanya merana.
 
Hairan dan terkejut orang dibuatnya ketika mendengar peristiwa akhir hidupnya. Seorang yang mempunyai pengetahuan tinggi dan hidup mewah meninggal dunia dengan cara membunuh diri, ya, membunuh diri setelah dia terlebih dahulu membunuh anak tunggal yang sangat dikasihinya itu.
 
Cubalah fikirkan bersama, mengapa seorang Professor tergamak melakukan satu perbuatan yang lebih kejam sifatnya, dari perbuatan seorang penjahat, iaitu membunuh anak sendiri, dan kemudian membunuh dirinya pula?
 
Tentu ada rahsia kehidupannya yang tidak diketahui oleh orang lain. Dari surat yang ditinggalkannya kepada teman karibnya, nyatalah perbuatan membunuh dua jiwa itu bukanlah suatu pekerjaan terburu nafsu,  malah telah difikirkan semasaknya. Berasal dari satu perjuangan rohani yang mendalam yang tidak dapat diselesaikan dalam lautan ilmu pengetahuan yang ada padanya.
 
Dari surat yang ditinggalkannya itu, ternyatalah bahawa sarjana  yang kenamaan itu kehilangan "Tujuan Hidup". Didikan yang diterimanya dari kecil dan pergaulan dengan orang- orang disekelilingnya, telah memberinya kesan jiwa sehingga ia menganggap bahawa ilmu pengetahuan itu adalah satu- satunya tujuan hidup yang sebenarnya.
 
Akan tetapi akhirnya masih ada lagi hajat rohani yang tidak dapat dipuaskan dengan ilmu pengetahuan semata- mata, jiwa rohaninya haus dan dahaga kepada suatu tempat pengantungan yang teguh, tempat menyangkutkan sauh bila di timpa gelombang kehidupan, tempat bernaung bila ditimpa pancaroba rohani. 
 
Iri hatinya melihat orang- orang sekelilingnya hidup aman dan tenteram pula jiwa mereka, dia menghendaki seperti orang- orang yang mempunyai tempat bergantung dan mempunyai keyakinan iaitu kepercayaan agama.
 
Baginya ini tidak dicapainya, jiwanya berkehendak kepada penyembahan kepada Allah, tetapi tidak diperolehinya. Dia rindu untuk mempunyai agama, tetapi tidak diperolehinya jalan ke arah itu. Ini menjadi satu azab yang pedih yang tidak dapat dipikulnya.
 
Demikianlah gambaran batin seseorang yang tidak mempunyai pegangan hidup, tidak beriman, seseorang yang pada hakikatnya rindu kepada Allah, tetapi tidak dapat dicapainya dalam hidupnya, seolah- olah dengan membunuh diri itu, ia hendak mencari Allah disebalik kubur, dan supaya ia terlepas dari siksaan rohani yang  dirasanya sangat berat di dunia ini.
 
Kita bawakan peristiwa di atas supaya menjadi bahan renungan buat kita semua, moga- moga menjadi cermin perbandingan. Sebab perjuangan batin seperti yang dideritai oleh sarjana tersebut mungkin  terjadi kepada diri kita sendiri dan di kalangan bangsa kita, iaitu suatu kerosakan batin yang pokok pangkalnya ialah kekurangan pimpinan dan didikan rohani di waktu kecil, disebabkan mencuaikan dan meninggalkan didikan rohani terlampau cenderung kepada pendidikan yang bersifat keduniaan semata- mata.
 
Kerana itu, mentauhidkan Allah, mempercayai dan menyerahkan diri kepadanya, sepatutnyalah menjadi dasar bagi tiap- tiap didikan yang diberikan kepada kanak- kanak, pemuda, pemudi dan angkata belia, beliawanis kita.
 
Meninggal dasar didikan ini, bererti kita telah melakukan suatu kecuaian yang besar, yang tidak kurang besar bahayanya dari berkhianat terhadap anak- anak dan keturunan yang kita didik, walaupun sesudah kita sempurnakan makan minum mereka dan telah kita cukupkan pakaian serta sudah kita lengkapkan dengan ilmu pengetahuan keduniaan sebagai bekal hidupnya. Semua itu belum lengkap kalau tidak disertai dengan didikan rohani atau didikan agama.
 
Allah telah mengamatkan supaya kita memberikan didikan dan pimpinan yang baik kepada anak- anak. Selaku ibu bapa atau penjaga kitalah yang bertanggungjawab terhadap nasib anak- anak di masa depan.
 
Tiap- tiap anak itu dilahirkan suci, maka ibu bapanyalah yang menjadikan dia Majusi, Nasrani atau Yahudi. Begitulah antara lain junjungan kita Nabi Muhammad S.a.w memperingatkan kepada tiap- tiap ibu bapa.
 
Allah berfirman dalam surah Al- Tahrim, ayat 6, maksudnya: " Peliharalah dirimu dan ahlimu dari api neraka".
 
Demikianlah pula kira- kira maksud  peringatan Allah dalam Al-Quran kepada kita agar memberikan kepada anak- anak dan isteri serta keluarga kita, didikan dan pimpinan yang baik, yang akan memeliharanya dari kesesatan  dan memandunya ke arah keselamatan dunia dan akhirat.
 
Apa yang dimaksudkan dengan didikan ialah satu pimpinan jasmani dan rohani yang menuju kepada kesempurnaan dan lengkapnya sifat- sifat kemanusiaan dalam ertikata yang sebenarnya. Pimpinan seperti ini sekurang- kurangnya memerlukan dua perkara, iaitu:
 
1) Satu tujuan tempat mengarahkan didikan itu.
 
2) Satu asas yang tertentu tempat mendasarkannya.
 
Apakah tujuan yang menjadi matlamat dari pendidikan? Pertanyaan ini dengan pertanyaan yang lebih kompleks iaitu apakah tujuan kita hidup di dunia ini? Kedua pertanyaan ini tidak dapat dipisahkan, kerana tujuan didikan adalah tujuan hidup.
 
Al- Quran menjawab pertanyaan ini yang berbunyi: " dan Aku (Allah) tidak menjadikan Jin dan Manusia kecuali untuk beribadat (menyembah) Ku".
(Surah Al- Zariat, ayat: 56)
 
Menyembah dan memperhambakan diri  kepada Allah, inilah jadi dasar hidup kita. Sebab itu pula, inilah tujuan pendidikan yang patut kita dasarkan dan berikan kepada anak- anak dan keturunan kita.
 
Apakah syarat dan sifat seseorang yang berhak menamakan dirinya "hamba Allah" itu? Firman Allah, maksudnya: " bahawa yang sebenarnya takut kepada Allah itu ialah hamba- hamba-Nya yang mempunyai ilmu, sesungguhnya Allah itu berkuasa lagi Pengampun."
(Surah Al- Faatir, ayat 28)
 
Mempercayai dan mengabdikan diri kepada Allah yang menjadi tujuan hidup dan tujuan didikan kita, akan dapat mendatangkan kebahagiaan dan memberi kekuatan kepada diri kita sendiri. Apakah pendidikan itu bercorak seperti didikan " kebaratan dan ketimuran " tidaklah menjadi soal. Timur dan barat adalah sama- sama kepunyaan Allah dan masing- masing ada mempunyai kelemahan dan kekuatannya.
 
Apa yang menjadi pokok pangkalnya bahawa asas- asas dan tujuan didikan kita hendaklah benar- benar membawa kita ke arah hamba yang taqwa serta beriman kepada Allah. Didikan rohani boleh menimbulkan semangat atau jiwa yang kuat, tabah dan jujur yang dapat mendorong seseorang itu melakukan perbuatan yang luhur dan baik.
 
Al- Quran sendiri memang menggalakkan dan menyeru kepada kita supaya menanamkan didikan rohani secara amalan. Al- Quran selalu menggambarkan secara peribadi orang- orang yang sentiasa berusaha melakukan kerja- kerja luhur dan menjauhi perbuatan- perbuatan yang jahat, keji, dan curang.
 
Orang mukmin sejati ialah orang- orang yang melaksanakan dua tugas sekali iaitu tugas berusaha dan membangun dalam lapangan kebajikan dan tugas- tugas menentang segala perbuatan jahat dan keji.

Didikan rohani bukanlah didikan yang bertujuan memalingkan manusia dari kehidupan berusaha dan bekerja kepada kehidupan menganggur, zuhud dan lari dari kegiatan dari kehidupan sehari- hari. Islam memerangi dan menentang sebarang pelarian dan penghindaran diri dari kegiatan hidup.

Penghidupan zuhud iaitu yang semata- mata mengabdi beribadat anpa berusaha untuk kehidupan di dunia ini dan melumpuhkan tenaga berfikir dan berusaha. Sedangkan kedua- dua tenaga ini dikurniakan Allah kepada kita agar kita mempergunakannya untuk faedah kita dan orang- orang lain.

Oleh kerana itu cara hidup yang sederhana ialah hidup yang memelihara perseimbangan di antara keperluan - keperluan hidup akhirat dan keperluan- keperluan hidup di dunia, atau antara keperluan- keperluan jasmani dan keperluan rohani. Sebab itu ibadat di dalam Islam mempunyai pengertian yang sangat luas kerana tiap- tiap usaha kehidupan yang dilakukan dengan niat jujur untuk melaksanakan sesuatu dengan tujuan yang baik adalah dikirakan ibadat.

Tiap- tiap sekali ucapan 'Subhanallah' itu satu kebaikan (ibadah), tiap- tiap sekali ucapan  'Alhamdulillah' itu kebaktian, tiap- tiap kali ucapan 'Allahuakbar' itu kebaktian.

Jadi amalan soleh itu ialah tiap- tiap perbuatan yang mendatangkan kebaikan samada kepada diri sendiri, orang ramai atau kehidupan di dunia yang menjadi asas penting ialah kejujuran dan keluhuran niat. Niat yang luhur itu tidak akan lahir kecuali apabila kita mempunyai didikan rohani yang baik.

Dengan adanya niat yang jujur dan ikhlas, maka kita akan terhindar dari tujuan yang jahat dan curang dan kita menjadi  seseorang warga negara serta hamba Allah yang baik dan dapat pula memberikan kebaikan kepada orang lain.