✭ Keramat Wali- Wali Allah




👳 'Ibad Bin Basyar R.a.

Sejarahnya:

• Nama penuhnya: 'Ibad Bin Basyar Bin Waqash

• Menyertai peperangan Badar dan lain- lain sesudahnya.

• Mati Syahid dalam peperangan Alimamah dalam usia 45 tahun.

Keramatnya:

Antara lain sebagainya disebut oleh Ibnu Sa'id dan Al- Hakam serta disahkan pula oleh Al- Baihaqi dan Abu Na'im, dari Anas R.a: Bahawa kerana sesuatu tujuan, 'ibad Bin Basyar dan Asid Bin Hadir, telah hadir di sisi Rasulullah S.a.w, sehingga satu jam dari malam telah berlalu, iaitu malam yang amat gelap. (bila selesai sahaja urusan) mereka keluar hendak pulang, dan di tangan masing- masing memegang sebatang tongkat. Maka tongkat salah seorang daripada mereka mengeluarkan cahaya. Berjalanlah mereka di dalam cahaya tersebut. Apabila sampai masa mereka untuk berpisah, tongkat yang seorang lagi pula mengeluarkan cahayanya. Maka berjalanlah keduanya di dalam cahaya tongkat masing- masing, sehingga sampai kepada keluarga mereka.

👳 'Amar Bin Fahirah R.a.

Sejarahnya:

• Asalnya hamba kepada Al- Thafil Bin Abdullah. Masuk Islam ketika di dalam tangan orang ini lagi. Kemudian beliau dibeli oleh Saiyidina Abu Bakar As- Siddiq dan membebaskannya.

• Kerjanya mengembala kambing di bukut Tsur. Semasa Nabi S.a.w dan Saiyidina Abu Bakar berada di dalam gua Tsur, beliaulah tukang sampaikan berita- berita kepada mereka tentang hal ehwal orang- orang kafir Quraisy yang sedang mencari dan memburu mereka. Ibnu Syihab mensifatkannya sebagai teman berhijrah kepada Nabi S.a.w dan Saiyidina Abu Bakar.

• Menyertai peperangan Badar dan Uhud. Beliau terbunuh (Syahid) di dalam peperangan dalam usia 40 tahun.

Keramatnya:

Antara lain Riwayat Yunus Bin Bakir daripada Ibnu Ishak, katanya: " Telah bercerita kepada saya Hisyam Bin 'Aruah daripada bapanya: bahawa Umar Bin Al- Thafil ada berkata: Seorang lelaki ('Amar bin Fahirah) dari kalangan para sahabat, apabila ia terbunuh, saya nampak jasadnya terangkat di antara langit dan bumi dan kemudian terletak semula.

•Riwayat lain pula: oleh Al- waqadi dari Abu Al- Aswad daripafa 'Aruah: bahawa yang membunuh 'Amar Bin Fahirah adalah seorang yang bernama Jabbar Ibnu Salmi Al- Kalabi.
Orang itu bercerita: Manakala ia menikam 'Amar dengan lembingnya, lalu berkata 'Amar: " Demi Tuhan, saya telah berjaya!" Bertanya Jabbar: " Apakah makna perkataan saya telah berjaya?". Menjawab orang ramai: " Maksudnya ialah Syurga!". Maka berkata Jabbar: " Demi Allah, jawapan itu sesungguhnya benar." lalu beliau pun masuk Islam.

Ibnu Mubar ada menyebut daripada Mu'ammar daripada Al- Zahari daripada 'Aruah, katanya orang- orang Islam telah mencari mayat 'Amar Bin Fahirah di tempat ia terbunuh, tetapi tidak berjumpa. Kata 'Aruah: Mereka itu nampak Malaikat menguburkan Mayat 'Amar.

👳 Ya' li Bin Murah R.a.

Sejarahnya:

• Nama penuhnya : Abu Al- Marrazam Ya' li Bin Murah Bin Wahab Bin Jabir

• Menyertai dan menyaksikan peristiwa Hudaibiyah (berlaku dalam bulan Zulkaedah, tahun 6 Hijrah), peperangan Khaibar (awal tahun ke tujuh hijrah), Fattah Makkah (di bulan Ramadhan tahun ke lapan), peperangan Hunain (di bulan Syawal tahun yang sama (lapan) hijrah) dan peristiwa Al-Thaif berlaku selepas Hunain.

• Meriwayatkan hadis- hadis dari Nabi S.a.w

• Ada pendapat mengatakan: Beliau itu orang Basrah dan mempunyai rumah di sana.

 Keramatnya:

'Mendengar bunyi azab di dalam kubur'

Kisah ini antara lain disebut oleh Al- Baihaqi daripada ya' li Bin Murah R.a, katanya: " Kami bersama- sama Rasulullah S.a.w sedang lalu di atas perkuburan. Tiba- tiba saya mendengar semacam bunyi himpitan dalam qubur, lalu saya bertanya: " Wahai Rasulullah, saya ada mendengar semacam bunyi himpitan dalam kubur". Sabda Baginda: "Engkau mendengarnya, wahai Ya' li?"  Saya menjawab: "Ya". Sabdanya: "Sesungguhnya ia di azab kerana sedikit perkara." Tanya saya pula: "Kerana apa dia?". Jawab Baginda: "Kerana mengumpat dan gunjing."

👳 Sa'ad Bin Mu'az R.a.

Sejarahnya:

• Nama penuhnya: Abu 'Umar Sa'ad Bin Mu'az Bin Al- Na' man

• Menyertai peperangan Badar, Uhud dan Khandak (Peperangan Khandak berlaku dalam bulan Syawal tahun ke lima hijrah iaitu menurut Ibnu Ishak, 'Aruah, Ibnu Al- Zabir, Qatadah dan Al- Baihaqi serta ramai ulama'- ulama' salaf) Mendapat kecederaan dalam peperangan Khandak, di panah oleh Hibban Bin Al- Araqah, tetapi sempat hidup selama sebulan sesudah itu.

Keramatnya:

" Tujuh puluh ribu malaikat mengiringi jenazahnya." Kisah ini antara lain disebut oleh Al- Baihaqi daripada Ibnu 'Umar R.a, katanya: Rasulullah S.a.w ada bersabda:" Telah bergerak 'Arasy disebabkan Sa'ad Bin Mu'az, serta mengiringi jenazahnya tujuh puluh ribu Malaikat."

Riwayat lain: Daripada Jabir R.a, katanya: "Telah datang Jibrail A.s kepada Nabi S.a.w sambil berkata:"Siapakah seorang hamba yang soleh telah mati, yang dibukakan pintu langit untuk untuknya serta bergerak 'Arasy keranya?" lalu lepas itu ia pun pergi. Rupa- rupanya Sa'ad Bin Mu'az telah meninggal dunia.

Satu Riwayat lain lagi: dikeluarkan oleh Ibnu Sa'ad dan Abu Na 'im daripada Muhammad Bin Al-Mungkadir daripada Muhammad Bin Syarhabil Bin Hasanat, katanya: " Seorang lelaki telah mengambil segenggam tanah daripada kubur Sa'ad Bin Mu'az. Ia pergi selepas itu, dan tiba- tiba mendapatinya (mendapati tanah tersebut) jadi kasturi. Maka Rasulullah S.a.w pun membaca: Subhanallah, Subhanallah....."
Ibnu Sa'ad pula ada menyebut daripada Abu Sa'id Al-Khudri R.a, katanya: "Saya adalah salah seorang dari mereka yang menggali kubur Sa'ad. Setiap kali kami gali, kami tercium bau kasturi."

Wallahu a'lam..