✭ Kisah Dari Al-Quran- Maryam A.s






Dalam kitab suci al-Quran terdapat kisah seorang wanita yang suci bernama Maryam melahirkan anaknya Isa A.s dengan cara yang luar biasa.

Dalam kitab suci al-Quran Allah berfirman:

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam kitab al-Quran ini akan perihal Maryam, tatkala ia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat di sebelah timur.

Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka; maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari Kami (Malakat Jibrail) lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki, yang sempurna bentuk kejadiannya.

Maryam berkata:"Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan)mu kalaulah kiranya engkau seorang yang bertaqwa.

Ia berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci.

Maryam bertanya (dengan cemas) “Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, pada hal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat.

Ia menjawab: “Demikianlah keadaannya- tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman:” Hal itu mudah bagi-Ku; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia, dan sebagai satu rahmat dari Kami dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya”.

Maka ia pun hamillah, lalu ia memencilkan diri dengan kandugnannya itu ke sebuah tempat yang jauh.

(ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; ia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini, dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang"

Lalu ia diseru dari arah sebelah bawahnya, “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai".

“Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak".

“Maka makan dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian), maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapa pun dari kalangan manusia pada hari ini".

Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendukung anaknya. Mereka menempelakkannya dengan berkata, “Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salah”.

"Wahai saudara perempuan Harun! Bapakmu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat".

Maka Maryam segera menunjukkan kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): "Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?"
Ia menjawab, “Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang nabi.

“Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahayang dan memberi zakat selagi aku hidup.

“Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepda ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau durhaka.

“Dan segala keselamatan serta kesejahteaan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan, dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)”.
 
(Surah Maryam, ayat 16-33)

Kisah ini merupakan sebuah kisah yang khusus tentang Maryam A.s ketika dikurniakan oleh Allah seorang putera kepada beliau, itulah Nabi Isa A.s.