✭ Kewajipan Menutup Aurat

Tanamkan rasa ketaqwaan, perangi hawa nafsu

 
Untuk membiasakan diri kita supaya dapat menutup aurat dengan sempurna, hendaklah kita tanamkan rasa ketaqwaan kita kepada Allah S.w.t, hidup dan mati kita adalah untuk Islam. Berharap untuk mendapat nikmat syurga dab takut untuk mendapat seksaan api neraka. Dengan adanya sifat taqwa kita berusaha dan bertekad dengan bersungguh- sungguh untuk menutup aurat kita. Pada mulanya memanglah dirasakan panas, tetapi jika kita ketahui bahawa panas di akhirat dan di neraka itu 70 kali ganda lebih panas daripada panas yang kita rasai di dunia ini, pasti kita akan berazam untuk memerangi hawa nafsu kita.
 
Sebagaimana sabda Rasulullah S.a.w: " Perangilah hawa nafsumu sebagaimana kamu memerangi musuhmu".
 
Kewajipan menutup aurat yang telah diaturkan oleh Allah S.w.t ialah menutup keseluruh anggota melainkan muka dan kedua tapak tangan seperti yang terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saiyidatina 'Aisyah R.a bahawa Rasulullah S.a.w telah memalingkan wajahnya dari Asma saudara 'Aisyah ketika ia datang dengan pakaian yang tipis sambil bersabda: " Hai Asma, perempuan yang sudah berhaid tidak patut menampakkan dari tubuhnya kecuali ini (seraya menunjukkan muka dan kedua tapak tangannya)".
 
Demikianlah Allah telah memberikan garis pandu kepada wanita- wanita Islam yang beriman agar sentiasa menutup aurat supaya terhindar dari segala gangguan, baik gangguan dunia mahupun balasan di akhirat.

Gangguan di dunia yang dimaksudkan itu ialah seperti berlakunya zina atau perogolan dan sebagainya. Apakah puncanya perkara yang keji itu boleh terjadi? Punca utamanya ialah pandangan mata yang liar, seperti kata penyair:
 
Semua peristiwa, asalnya kerana pandangan*
Dan kebanyakan orang masuk neraka adalah kerana dosa kecil*
Permulaannya pandangan, kemudian senyum lalu memberi salam*
Kemudian bercakap lalu berjanji dan sesudah itu bertemu*
 
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa Rasulullah S.a.w telah bersabda: "Kedua mata itu berzina dan zinanya ialah melihat".
 
Dimaksud dengan melihat di sini ialah penglihatan liar yang boleh menghayalkan dan menaikkan nafsu syahwat dan yang boleh membawa fitnah. Kerana orang yang melihat itu akan mendapat kenikmatan dengan cara yang dilarang oleh syara'. Tetapi jika pandangan itu hanya pandangan biasa sahaja yang tidak melihat lama- lama dan tidak mengamati- amati kecantikan seseorang itu serta tidak melihat aurat yang diharamkan maka diharuskan kita melihatnya.
 
Jika difikirkan, siapakah sebenarnya yang selalu dilihat hingga tidak berkelip mata itu? Sudah tentulah orang yang sexy, yang menarik perhatian dan membangkitkan nafsu berahi iaitu orang- orang yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Dari pandangan seperti inilah timbulnya keinginan untuk melakukan perbuatan yang keji lebih- lebih lagi didorong oleh Iblis yang ingin menjahanamkan umat Islam.
 
Dari itu Allah S.w.t telah memerintahkan orang- orang yang beriman agar menundukkan pandangan dan memelihara kemaluannya dan seterusnya memerintahkan agar menutup aurat sebagaimana firman- Nya di dalam surah An-Nur, ayat 30 dan 31:  " Katakanlah kepada lelaki yang beriman: " Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan". Katakanlah kepada wanita yang beriman: " Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau anak- anak mereka, atau anak- anak mereka, atau anak- anak suami mereka, atau saudara- saudara mereka atau anak- anak saudara lelaki mereka atau anak- anak saudara perempuan mereka atau wanita- wanita Islam atau budak- budak yang mereka miliki atau pelayan- pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita), atau anak- anak yang belum mengerti tentang aurat mereka. Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan- perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang- orang yang beriman supaya kamu beruntung".
 
 
BERPAKAIAN TETAPI TELANJANG

Janganlah kita memandang ringan sahaja tentang kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah khasnya dalam hal pendedahan aurat, cubalah kita renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
 
" Dari Abi Hurairah R.a, katanya: Bersabda Rasulullah S.a.w dua golongan dari ahli neraka, belum pernah saya lihat iaitu segolongan manusia memegang cemeti seakan- akan ekor sapi (sebagai alat untuk memukul orang ramai) dan golongan lain iaitu kaum wanita yang berpakaian setengah telanjang (terdedah) yang mengajak/menjadi contoh buruk bagi wanita lainnya berjalan lenggang- lenggok, rambutnya disanggul seperti bongkol unta yang condong, wanita- wanita ini tidaklah akan masuk syurga bahkan tidak akan mencium baunya, walaupun baunya itu semerbak sejauh perjalanan dari satu tempat ke satu tempat".

Pakaian setengah telanjang yang di maksudkan dalam hadis tersebut ialah pakaian yang terdedah, tidak kira dibahagian mana sekalipun daripada anggota badan sama ada di leher, tangan, kaki, kepala dan sebagainya.

Pakaian setengah telanjang ini juga boleh diertikan dengan pakaian yang nipis yang boleh menampakkan warna kulit. Dan boleh juga diertikan sebagai pakaian yang terlalu ketat yang boleh menampakkan bentuk badan. Begitu juga dengan rambut yang beraneka fesyen ataupun wanita- wanita yang berjalan dengan lenggang- lenggok yang sengaja dilakukan untuk menarik perhatian orang ramai khasnya kaum lelaki.
 
Termasuk dalam larangan Agama Islam yang suci ini ialah pakaian yang dipakai oleh wanita tetapi menyerupai pakaian lelaki atau sebaliknya, begitu juga dari segi perbuatan dan percakapan.
 
Larangan ini jelas di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari: Daripada Ibnu Abbas R.a, berkata; telah melaknat Rasulullah S.a.w lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.
 
SUAMI BERKEWAJIPAN UNTUK MENDIDIK ISTERI DAN ANAK- ANAK
 
Bagi mereka yang sudah berumahtangga, suami berkewajipan untuk memimpin isteri dan anak- anak yang telah baligh itu dari mendedahkan aurat kerana suami itu adalah menjadi pemimpin bagi kaum wanita khasnya isteri dan anak- anaknya.

Sebagaimana yang terdapat dalam Al- Quran Surah An- Nisaa, ayat 34 Allah berfirman: " Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di belakang suaminya oleh kerana Allah telah memelihara mereka. Wanita- wanita yang kamu khuatiri akan kederhakaannya, maka nasihatlah mereka dan pisahkanlah mereka dari tempat tidur mereka, dan pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari- cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi Lagi Maha Besar".

Jika suami membiarkan isteri dan anak- anaknya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama, maka di hari kiamat mereka akan disoal dengan apa yang telah mereka lakukan seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban:
 
Bersabda Rasulullah S.a.w yang bererti: " Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap pemimpin tentang apa- apa yang ia pimpin, apakah ia memeliharanya ataukah ia mensia- siakan, sehingga seseorang akan ditanya tentang urusan ahli keluarganya".
 
Dan Allah S.a.w telah berfirman dalam surah Al-Tahrim, ayat 6: " Hai orang- orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka".
 
Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.a, bersabda Rasulullah S.a.w: " Apabila seorang perempuan keluar dari pintu rumahnya dengan memperhias dirinya dan memakai minyak wangi/ harum, sedang suaminya rela dengan perkara itu, maka dibangunkan untuk suaminya, tiap- tiap langkah sebuah rumah di dalam neraka".
 
Allah S.a.w telah menerangkan dalam Al- Quran tentang sifat setengah manusia yang suka membantah dan memperbanyakkan alasan agar kewajipan itu dapat mereka tinggalkan dan begitu juga sebaliknya agar mereka dapat melakukan apa yang telah diharamkan sebagaimana yang terdapat dalam Al- Quran, surah Al- Kahfi ayat 54- 57 yang bererti: " Dan sesungguhnya telah Kami nyatakan dalam Al-Qur'an ini, bermacam- macam contoh untuk manusia. Tetapi manusia itu terlalu banyak membantah. Dan tidak ada sesuatu pun yang menghalangi manusia dari beriman, ketika datang petunjuk kepada mereka dan menghalang mereka dari meminta ampun kepada Tuhannya, melainkan mereka (inginkan agar) datangnya hukuman (Allah yang telah berlaku kepada) umat- umat dahulukala atau datangnya seksaan ke atas mereka dengan terang- terangan. Kami tiadalah mengutus rasul- rasul itu, melainkan untuk memberi khabar gembira dan khabar takut (sebagai pemberi ingatan) tetapi orang- orang kafir itu membantah dengan bathil (salah) supaya mereka menolak kebenaran Al- Quran, dan mereka menganggap ayat- ayat Kami dan segala peringatan terhadap mereka sebagai permainan. Dan siapakah yang lebih zalim (aniaya) daripada orang- orang yang telah diperingatkan dengan ayat- ayat dari Tuhannya lalu dia berpaling daripadanya dan melupakan apa yang telah dikerjakan oleh kedua tangannya? Sesungguhnya Kami telah menutup hati mereka sehingga mereka tidak memahaminya, dan menyumbat telinga mereka. Dan walaupun kamu menyeru mereka kepada petunjuk, nescaya mereka tidak akan mendapat petunjuk selama- lamanya".