✭ Tips Merawat Hati Yang gundah gulana

  
  
Betapa mahalnya harga ketenangan jiwa. Ramai orang mengorbankan apa saja untuk mendapatkannya. Namun, ramai juga yang terkeliru. Lihat saja apabila seseorang ingin mendapatkan ketenangan jiwa, sanggap menghabiskan waktu berjam- jam untuk berhibur sambil mengambil minuman keras.
Hakikat sebenarnya, tiada seorang pun boleh terlepas daripada masalah kehidupan. Itulah sunnatullah yang berlaku di dunia. Kekayaan, pangkat dan kedudukan tidak akan mampu menghalangnya. Namun, Islam memberikan penyelesaian terhadap tekanan hidup itu supaya jiwa umat menjadi tenang. Tidak ada istilah stress atau kecewa bagi seorang Mukmin.

Persoalannya Islam sudah memberikan penyelesian untuk menghadapi tekanan hidup. Berikut adalah antara langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa:

TENANG MENDENGAR BACAAN AL-QURAN
Suatu ketika seorang datang kepada Ibnu Mas'ud, seorang sahabat utama Rasulullah S.a.w. Dia mengeluh: " Wahai Ibnu Mas'ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Hari- hariku penuh dengan perasaan tak tenteram, jiwaku gelisah dan fikiran kusut. Makan tak lalu, tidur pun tak lena." Ibnu Mas'ud menjawab:" Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, iaitu:

Pertama: Tempat orang membaca Al-Quran. Engkau baca Al-Quran atau engkau dengar baik- baik orang yang membacanya.
Kedua: Engkau pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hatimu kepada Allah.
Ketiga: Engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat mengabdikan diri kepada Allah.

Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang berkenaan. Sampai saja di rumah, segera dia berwuduk, kemudian diambilnya Al-Quran dan dibacanya dengan khusyuk. Selesai membaca, dia segera mendapati hatinya memperoleh ketenteraman dan jiwanya pun tenang. Fikirannya segar kembali, hidupnya berasa seronok kembali . Padahal, dia baru melaksanakan satu daripada tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah S.a.w itu.

TENANG DENGAN MENYANGI ORANG MISKIN

Rasulullah S.a.w memerintahkan kepada Muslim yang mempunyai kelebihan harta untuk memberikan perhatian kepada orang miskin. Ternyata, sikap dermawan itu boleh mendatangkan ketenangan jiwa.
Mengapa? Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa malaikat selalu mendoakan orang dermawan. Rasulullah S.a.w bersabda, maksudnya:" Setiap pagi dua malaikat sentiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan doa: 'Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang bersedekah. Dan malaikat yang kedua pun berdoa: 'Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kedekut itu kebinasaan."

Dari hadis itu dapat disimpulkan bahawa orang yang dermawan memperoleh dua balasan. Pertama, dia mendapat ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain. Kedua, mendapat limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan daripada Allah S.w.t.

TENANG MELIHAT ORANG DI BAWAH, JANGAN LIHAT ORANG DI ATAS

Ketenangan jiwa akan diperoleh jika kita sentiasa bersyukur atas segala pemberian Allah S.w.t, meskipun nampak sedikit.
Rasa syukur itu akan muncul bila kita sentiasa melihat orang yang lebih rendah taraf kehidupannya daripada kita, baik dari segi harta kekayaan, tahap kesihatan, rupa paras, pekerjaan dan pendidikkannya. Betapa ramai di dunia ini orang yang kurang bernasib baik.

Sesungguhnya rasa syukur itu selain mendatangkan ketenangan jiwa, juga akan mendapat ganjaran daripada Allah S.w.t, sebagaimana sabda Rasulullah S.a.w yang bermaksud:
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah.

Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

TENANG DENGAN HUBUNGAN
SILATURRAHIM

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang saling memerlukan perhubungan untuk bantu- membantu sesama mereka. Pelbagai keperluan hidup tak mungkin diperoleh tanpa bantuan orang lain.

Oleh itu, dalam hadis Raslulullah S.a.w diperintahkan untuk tetap menjalin hubungan silatulrahim, sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan.

Rasulullah S.a.w juga pernah bersabda bahawa silaturrahim dapat memanjangkan umur dan memurahkan rezeki. Hubungan yang baik di dalam keluarga dan jiran tetangga akan mendatangkan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik juga akan menyelesaikan masalah masyarakat.
Sabda Baginda S.a.w yang bermaksud:" Sesiapa menjamin untukku satu perkara, aku jamin untuknya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturahim (menjalin hubungan baik), nescaya keluarganya akan mencintainya, diperluas baginya rezeki, ditambah umurnya dan Allah S.w.t memasukkan ke dalam syurga." (Hadis Riwayat Ar-Rabii)

TENANG DENGAN UCAPAN 'LA HAWLA WALA QUWATA ILLA BILLAH'

Sumber ketenangan jiwa yang hakiki adalah daripada Allah S.w.t. Oleh itu, hendaklah kita selalu menghubungkan hati dengan Allah dalam semua keadaan, baik dalam keadaan senang mahupun susah.

Perhubungan yang kuat dengan Allah akan membuatkan jiwa seseorang menjadi kuat, tak mudah digugat oleh sesiapa pun.

Malah, apabila hati sentiasa mengingati Allah, syaitan laknatullah tidak akan dapat mempengaruhi hati dan fikiran kita. Oleh itu, banyakkanlah berzikir dan membaca kalimah Allah.


• TENANG DENGAN MENGATAKAN KEBENARAN, WALAUPUN IA PAHIT DIDENGAR

Hidup ini harus dijaga agar sentiasa berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran harus diperjuangkan. Perlanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan kegelisahan.
Ketenagan jiwa akan terbina apabila kita tidak melanggar nilai kebenaran. Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan mempengaruhi ketenagan jiwa. Lihat saja orang kerap berbuat maksiat, kehidupannya kegelisahan.

• TENANG DENGAN BERLAPANG DADA TERHADAP KECAMAN ORANG LAIN, YANG KITA LAKUKAN KERANA ALLAH

Satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerana selalu mengambil perhatian kecaman orang lain terhadap dirinya, sedangkan seseorang akan memiliki pendirian yang kuat jika berpegang kepada prinsip yang datang daripada Allah S.w.t, iaitu Islam sebagai cara hidup.

Sekiranya kita ikuti apa yang berlaku di dunia sekarang ini, ia akan menganggu ketenangan jiwa kita.

TENANG DENGAN TIDAK MEMINTA- MINTA KEPADA ORANG LAIN

"Tangan di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah" adalah maksud satu hadis Rasulullah S.a.w yang memotivasi setiap mukmin untuk hidup berdikari. Tidak bergantung dan meminta- minta kepada orang lain kerana jiwanya akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan.

Sebaliknya, orang yang selalu meminta menggambarkan jiwanya lemah. Hal ini tentu sekali membuatkan jiwanya tidak tenang.
Tenang dengan menjauhkan diri daripada berhutang.

Hadis Rasulullah S.a.w mengatakan: " Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan selepas merasakan keamanan! (Kalangan sahabat) bertanya: " Bagaimana boleh terjadi seperti itu!" Sabdanya:"Kerana hutang."
Begitulah kenyataannya orang yang berhutang akan sentiasa bimbang dan risau kerana dia akan didatangi oleh orang yang memberi hutang kepadanya. Inilah satu faktor yang membuat banyak orang mengalami tekanan jiwa.

Rasulullah S.a.w juga mengatakan dalam hadis yang bermaksud: "Hendaklah kamu jauhi hutang, kerana hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di malam hari dalam rasa rendah diri di siang hari."

TENANG DENGAN SELALU BERFIKIRAN POSITIF

Mengapa seseorang mudah stres dan jiwa tak tenang? Satu faktornya kerana dia selalu berfikiran negatif, selalu mencela dan menyesali kekurangan diri. Padahal, setiap di antara kita diberikan oleh Allah S.w.t berbagai- bagai kelebihan.

Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif. Ubahlah perasaan keluh kesah yang membuatkan muka berkerut, lemah badan dan kecewa dengan ucapan yang menggembirakan. Ucapan yang menggembirakan akan membuat kita mudah tersenyum, jiwa menjadi lebih bersemangat.
Bukankah di sebalik segala kesulitan dan kegagalan itu ada hikmah yang boleh menjadi pelajaran bagi kita? Bukankah di sebalik kesulitan ada kemudahan? Fikir-fikirkan dan selamat beramal.

TENANG DENGAN ILMU

Ilmu mengenal Allah S.w.t adalah yang paling utama. Jika suami hanya sibuk belajar bagaimana menggunakan gajet terbaru dan isteri pula dengan ilmu kecantikan, fesyen atau perniagaan online semata- semata, adakah ruang untuk mereka bersama mengenal ilmu agama?

Belajar agama adalah wajib bagi setiap Muslim. Agama bukan hak ustaz dan ustazah, tetapi seluruh umat Nabi Muhammad S.a.w wajib mengenal agama dan mengambil ilmu warisan peninggalan Rasulullah S.a.w itu.
Dunia dan harta tidak mampu membeli ketenangan hati, hanya Allah S.w.t yang berkuasa mententeramkan hati kita. Kenalilah Allah S.w.t dengan ilmu, dekati ulama melalui buku, berkawan dengan orang alim dan ikhlas.
Carilah ilmu yang bermanfaat bukan hanya setakat pandai membaca Al-Quran dan hadis, tetapi juga memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan.

TENANG DENGAN HATI YANG KHUSYUK

Jika hati suami diusik oleh beban pekerjaan yang memenat, isteri pula sedih kerana anak yang bermasalah, maka jalan kedua untuk mendapatkan ketenangan adalah khusyuk mengerjakan ibadat.
Tetapi jangan tunggu musibah datang baru hendak beribadat. Ingatlah Allah dalam senang dan susah.

Untuk mendapat khusyuk dalam ibadat, perlulah menepati cara yang diajarkan Rasulullah S.a.w. Orang yang membaca Al-Quran dan mengerjakan solat wajib ataupun sunat jika mereka mengerjakannya dengan khusyuk, keadaan mereka seperti yang digambarkan dalam firman-Nya bermaksud:
" Allah telah menurunkan sebaik- baik perkataan iaitu kitab suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya) yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang- orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram, kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. " (Surah Az-Zumar, ayat 23)

Bergetar hati kerana ingat dosa, takut pada Allah dan terkenangkan hari akhirat, sedangkan diri belum sempurna untuk menghadapi mati. Begitulah perasaan orang yang khusyuk.

Tangisan boleh jadi petanda mendapat rahmat atau azab. Jika seseorang menangis kerana Allah S.w.t akan berubahlah amalannya daripada yang jahat kepada yang baik. Namun, ramai yang menangis kerana menerima balasan akibat kejahatan diri, kemudian mereka berputus asa daripada rahmat Allah dan terus bergelumang dengan hawa nafsu yang menyesatkan. Suami dan isteri yang banyak menangis kerana Allah S.w.t antara yang paling lembut hatinya dan mudah memperbaiki kesilapan. Kalau mereka keras hati dan lalai, pastilah konflik akan sentiasa memburu sepanjang perkahwinan.

Oleh itu, banyakkanlah menangis ketika bermuhasabah supaya hati anda berdua lebih lembut dan tenang menghadapi ujian.

Allah S.w.t berfirman, maksudnya:" Dan mereka sujud sambil menangis sedangkan hati mereka bertambah khusyuk." (Surah Al-Isra', ayat 109)

• TENANG DALAM BERDOA

Kedekatan seorang hamba dengan Allah bergantung kepada kekerapan dia merayu, meminta, mengadu dan menangis kepada-Nya. Jika interaksinya amat kurang, sungguh dia menjauhi Allah S.w.t, tidak mempedulikan kebesaran dan kuasa-Nya dan seolah-olah tidak percaya kehebatan-Nya.

Ketenangan dapat dicapai dengan hati mengingati Allah, bersyukur dan bergantung kepada-Nya, bukan hati yang tenggelam dalam kesibukan mengejar dunia. Pergilah ke tempat terindah di dunia ini dengan hati yang lalai, nescaya semua keindahan itu akan menjadi neraka di jiwa.