✭ Mengecat, Mudah, Seronok Kalau Tahu Caranya!




Salah satu cara yang paling senang untuk menjadikan kediaman kelihatan baru dan cantik adalah dengan mengecat semula.
Selain mencantikkan rumah, mengecat juga boleh menjadi aktiviti menarik untuk keluarga. Bayangkan satu keluarga daripada emak, ayah dan anak- anak sama- sama berganding bahu mecantikkan kediaman. Tentu riuh- rendah dan dapat membina kemesraan.
Jika di rumah bujang pula, aktiviti bersama teman serumah pasti dapat mengeratkan lagi silatulrahim dan persahabatan.

Mengecat tentu seronok jika tahu cara- caranya. Tetapi seringkali kerja- kerja mengecat diserahkan kepada pakar. Bagi yang ingin menjimatkan wang, apa kata anda mencuba langkah- langkah yang disenaraikan.

Sebagai seorang yang bestari, tentu anda hendak mencuba sesuatu yang baru. Percayalah, anda akan lebih berpuas hati dengan hasil kerja sendiri!

Barang dan peralatan yang diperlukan untuk mengecat:

1. Kertas pasir- untuk melicinkan permukaan yang tidak rata.

2. Turpentin- untuk membersihkan palitan cat berasaskan minyak.

3. Kain buruk bersih- bagi membersihkan palitan cat.

4. Pita 'Masking'- untuk melindungi suis lampu, soket, kawasan- kawasan sukar daripada tercalit cat.

5. Penutup- sama ada kanvas atau akhbar lama untuk melindungi lantai dan perabot.

6. Pengikis- untuk membuang cat lama dari permukaan yang hendak dicat baru.

7. Berus cat dan penggolek- terdiri daripada pelbagai saiz. Sesuaikan dengan tujuan dan permukaan yang hendak dicat.

8. 'Sealer'- untuk menampal retak atau lubang pada dinding.

9. Tangga- jika perlu untuk mengecat kawasan yang tinggi.

10. Sarung tangan dan perlindungan mata.

Langkah sebelum mengecat:

1. Alihkan perabot sebanyak mungkin atau kosongkan perabot jika perlu.

2. Tutup permukaan lantai dan perabot menggunakan surat khabar lama atau kain.

3. Lindungi suis lampu, soket elektrik, panel tingkap dan pintu dengan pita 'masking'.

4. Buangkan cat lama menggunakan pengikis.

5. Tampal lubang atau retak yang terdapat pada dinding. Setelah kering, ratakan dengan kertas pasir untuk kemasan akhir.

6. Basahkan dan bersihkan permukaan yang hendak dicat dengan air. Biarkan kering, kemudian mulakan proses mengecat.

7. Sebelum mengecat pastikan permukaan tersebut bersih, bebas gris dan kering sepenuhnya.

Langkah demi langkah:

1. Mulakan cat di kawasan syiling, diikuti dinding, kemudian panel pintu dan tingkap. Langkah ini memastikan cat dari syiling tidak merosakkan kawasan lain.

2. Cat kawasan yang sukar dahulu seperti di sudut sempit.

3. Anda boleh mengecat secara turun naik atau kiri ke kanan bergantung kepada keselesaan.

4. Pastikan cat dua atau lebih lapisan. Setelah lapisan pertama cat selesai, biarkan ia kering, kemudian cat lapisan kedua.

10 perkara yang perlu diberi perhatian

1. Sentiasa membaca label pada tin cat dan ikut arahan serta panduan yang disediakan.

2. Kacau cat sepenuhnya sebelum memulakan proses mengecat.

3. Celup hanya 1/3 daripada bulu berus ke dalam cat. Perlahan- lahan, tos cat berlebihan pada tin.

4 . Jauhi cat dari kanak- kanak.

5. Simpan cat yang telah digunakan ditempat yang dingin dan kering.

6. Jika cat terkena mata, basuh secepat mungkin menggunakan air yang banyak. Jika berlarutan, dapatkan nasihat pakar perubatan.

7. Jika cat terkena kulit, lap dengan kain dan basuh menggunakan air yang banyak dan sabun.

8. Pakai sarung tangan dan perlindungan  mata/ muka yang sesuai.

9. Jangan sesekali membuang cat ke dalam longkang. Gunakan beg plastik untuk membuang barangan cat. Pastikan ia dibuang ke dalam tong sampah.

10. Jika cat mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, buka tingkap dan pintu untuk pengudaraan yang selesa. Pengudaraan yang baik juga membantu proses pengeringan cat dengan lebih cepat.