✭ Kepentingan Dan Kelebihan Sembahyang



SEMBAHYANG DALAM PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Sembahyang disyariatkan tanpa perantaraan wahyu sebagaimana ibadat yang lain. Ianya disyariatkan terus menerus dari Allah S.w.t  kepada baginda Rasulullah S.a.w semasa peristiwa Israk dan Mikraj. Di sini menunjukkan betapa penting dan istimewanya ibadat itu kepada umat Islam.

Apabila baginda sampai ke suatu tempat yang tinggi di langit iaitu Sidratul Muntaha, baginda diperkenankan bertemu Allah S.w.t. Di sini baginda telah menerima satu perintah yang wajib dilaksanakan oleh umat baginda iaitu ibadat sembahyang. Ibadat sembahyang tersebut mesti ditunaikan sebanyak lima puluh waktu sehari semalam. Kewajipan itu kemudiannya dikurangkan menjadi lima waktu sahaja setelah baginda naik kembali bertemu Allah S.w.t untuk memohon pertimbangan mengurangkannya. Baginda sendiri mengetahui dan mengakui bahawa umatnya tidak akan dapat melaksanakan perintah tersebut.

Al- Imam Tarmizi telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik R.a: maksudnya: " Telah difardhukan ke atas baginda Rasulullah S.a.w pada malam baginda diisrakkan sembahyang lima puluh waktu, kemudian dikurangkan sehingga menjadi lima waktu.."
Dalam peristiwa ini juga, baginda menyaksikan gambaran manusia tidak mendirikan sembahyang yang diwajibkan kerana sibuk dengan urusan dunia. Baginda telah menyaksikan segolongan manusia yang menghempas- hempas kepala mereka dengan batu sehingga kepala mereka pecah. Kepala mereka yang pecah itu kemudiannya sembuh, tetapi dihempas- hempas lagi dengan batu, begitulah seterusnya mereka lakukan.

Sembahyang merupakan rukun asas dan utama bagi seorang muslim. Tidak ada alasan sibuk atau halangan untuk meninggalkannya. Bagi yang tidak dapat melakukannya dengan berdiri ia boleh melakukannya dengan duduk. Jika tidak boleh melakukannya dengan cara duduk, dia boleh melakukannya dengan berbaring, tidak boleh berbaring, memadailah dengan isyarat mata atau bayangan fikiran.

Ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada 'Imran bin Husain R.a, katanya: " Aku menghidap sakit buasir, lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.a.w tentang bagaimana cara hendak mendirikan sembahyang, maka baginda bersabda: maksudnya: "Sembahyanglah dengan berdiri, jika kau tidak berupaya sembahyanglah dengan cara duduk, jika kau tidak berupaya juga, maka sembahyanglah dengan cara berbaring."

Islam memberi perhatian terhadap ibadat sembahyang kerana ia sangat penting kepada manusia dan mengandungi hikmat yang amat banyak. Di antara kepentingan dan kelebihan sembahyang itu ialah:

1) Sembahyang adalah kewajipan setiap mukmin. Firman Allah S.w.t dalam surah Al- Nisaa ayat 103:
Maksudnya: " Maka dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman yang tertentu waktu."

2) Sembahyang adalah lambang keislaman seseorang. Ia membezakan seseorang sama ada mukmin atau kafir kerana ia termasuk amalan zahir yang boleh disaksikan orang. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Nasaie daripada Jabir katanya: Rasulullah S.a.w telah bersabda: Maksudnya: " Perkara yang menghubungkan seseorang dengan kekufuran ialah meninggalkan sembahyang."

Dalam hal ini, kedudukan sembahyang dalam Islam diumpamakan kedudukan kepala pada tubuh badan. Tidak ada seorang manusia yang hidup tanpa kepala. Begitulah halnya sembahyang, tidak dinamakan Islam bagi mereka yang tidak mengerjakan sembahyang.

3) Sembahyang diibaratkan sebagai kayu pengukur untuk menentukan keimanan dan keislaman seseorang kerana ia adalah tiang agama, berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Tarmizi daripada Mu'az bin Jabal R.a bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: Maksudnya: " Asas agama itu ialah (melafazkan dua kalimah syahadah yang mengesahkan) Islam, tiangnya ialah sembahyang, dan kemuncaknya pula ialah berjihad (pada jalan Allah)."

Sebuah bangunan tidak akan terbina tanpa tiang. Begitulah juga agama Islam tidak akan terbangun tanpa tiangnya iaitu sembahyang lima waktu. Bagi yang mendirikannya, sesungguhnya dia membangunkan agama dan sesiapa yang meninggalkannya, sesungguhnya dia meruntuhkan agama.

4) Sembahyang adalah ibadat yang pertama sekali yang dihisab pada hari akhirat nanti, berdasarkan sebuah hadis riwayat Al- Imam Al-Nasie daripada Abu Hurairah R.a bahawa Nabi S.a.w bersabda: Maksudnya: " Sesungguhnya perkara yang mula- mula dihisab (dihitung) dari amal seorang hamba ialah dengan sembahyangnya (fardhu yang lima)..."

5) Sembahyang diibaratkan sebagai anak kunci syurga berdasarkan hadis riwayat Al-Imam Ahmad daripada Jabir R.a, katanya: Rasulullah S.a.w bersabda: Maksudnya: " Anak kunci syurga ialah sembahyang..."

6) Sembahyang adalah santapan rohani bagi seorang muslim. Kejadian manusia adalah terdiri daripada dua unsur utama iaitu jasad dan roh. Kedua- dua unsur tersebut bergantung kepada makanan. Makanan bagi jasad ialah bahan- bahan makanan sama ada daripada tumbuh- tumbuhan atau binatang. Tanpa makanan yang cukup jasad akan sakit dan lambat membesar.

Begitu juga dengan roh, roh memerlukan kepada makanan yang sesuai dengan sifat kerohanian. Tanpa makanan rohani, roh manusia akan sakit dan melahirkan berbagai masalah dan penyakit yang berkaitan dengan roh seperti hasad dengki, takbur, riak, ujub, marah dan sebagainya. Memberi makanan atau santapan hanya kepada jasad tidaklah mencukupi. Manusia akan mengalami ketidakseimbangan dalam hidupnya. Dia akan kelihatan cantik dan sihat tetapi rohnya atau hatinya pula akan berpenyakit. Apabila ini terjadi, dia akan lebih menitikberatkan hal- hal duniawi untuk memenuhi keperluan jasmaninya tanpa ada perasaan kasih sayang, timbang rasa, adil, syukur dan sebagainya. Santapan rohani yang utama ialah sembahyang kerana sembahyang penuh dengan puji- pujian kepada Allah, zikir, takbir, tasbih dan doa yang semuanya itu adalah pembersih jiwa dan hati manusia.

7) Sembahyang boleh mencegah kejahatan dan kemungkaran. Firman Allah S.w.t dalam surah Al- Ankabuut ayat 45: Maksudnya: " Sesungguhnya sembahyang itu mencengah dari perbuatan keji dan mungkar..."

Ayat ini menegaskan bahawa sembahyang itu difardhukan atas sebab- sebab kemaslahatan yang kembali kepada diri si pelakunya sendiri, di mana sembahyang itu boleh mencegah diri kita dari melakukan perbuatan- perbuatan yang keji. Sembahyang merapatkan hubungan seseorang hamba itu dengan Penciptanya (Allah). Apabila seseorang hamba itu melakukan sembahyang dengan penuh ikhlas, khusyuk dan tawaduk, sesungguhnya ia akan merasa satu ketenangan yang sukar digambarkan kerana Allah S.w.t berada hampir denganya, sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis qudsi riwayat Al-Imam Al-Bukhari dan Al-Tabrani daripada Anas dan Abu Hurairah R.a bahawa Nabi S.a.w bersabda: Allah S.w.t telah berfirman: Maksudnya: " Jika seorang hamba bertaqrrub (mendatangi) kepada-Ku sejengkal, Aku mendatangi sehasta..."

Akan tetapi apabila sembahyang ditinggalkan maka putuslah hubungan seseorang hamba itu dengan Tuhannya. Dengan itu, mudahlah kejahatan dan kemungkaran menguasai dirinya.

Ibadat sembahyang juga boleh kita umpamakan seperti penahan (brake) bagi setiap kenderaan. Apabila sebuah kenderaan itu tidak mempunyai penahan, kita tidak dapat mengendalikan kenderaan kita dengan baik. Segala peraturan jalan raya tidak dapat dipatuhi dengan betul dan akhirnya kita akan melanggar mana- mana kenderaan lain atau tercampak ke dalam gaung. Begitulah halnya dengan orang yang tidak mengerjakan sembahyang, ia akan mudah dan senang untuk melakukan kejahatan tanpa mengira akibatnya.

Dalam kitab Al- Muatha', dijelaskan bahawa Sayidina Umar R.a, berkata: " Barangsiapa memelihara sembahyang dan tetap mengerjakannya bererti ia memelihara agamanya dan sebaliknya sesiapa yang mensia- siakanya maka ia lebih- lebih lagi akan mensia- siakan kewajipan agama yang lainnya."

8) Sembahyang juga dapat melatih jiwa dan hati manusia agar sentiasa tabah menghadapi kesusahan dan menghindarkan dari perasaan kedekut. Firman Allah S.w.t  dalam surah Al-Ma',aarij ayat 19 hingga 22: Maksudnya: " Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut) Apabila ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah, dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bahkil kedekut, kecuali orang- orang yang mengerjakan sembahyang..."

Tabiat manusia itu dijadikan berkeadaan gelisah, keluh kesah, tidak sabar, tidak berterima kasih di atas nikmat Allah. Umumnya manusia itu apabila ditimpa kesusahan, umpamanya jatuh miskin, sakit, rugi dalam perniagaan, turun pangkat dan sebagainya, dia akan gelisah dan putus asa serta kecewa. Tetapi, apabila dia mendapat kebaikan seperti sihat tubuh badan, kaya, mendapat keuntungan besar dalam perniagaan, dinaikkan pangkat dan sebagainya, dia lupa dan sombong kepada Allah serta kedekut memberi bantuan dan pertolongan. Namun, bagi orang yang mengerjakan sembahyang, keadaan tersebut tidak akan berlaku.

Sembahyangnya lah yang mendorongnya untuk tidak mempedulikan segala kegelisahan itu. Mereka ini sentiasa mengerjakan sembahayang pada waktunya, tidak dihalang oleh sebarang kerja dan kesibukan. Mereka begitu yakin dengan firman Allah S.w.t dalam surah Al- Baqarah ayat 153: Maksudnya: " Wahai sekalian orang- orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang, sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang- orang yang sabar."

9) Sembahyang dapat mendidik manusia agar sentiasa menumpukan sepenuh perhatian kepada setiap apa yang dilakukannya. Kenyataan ini jelas apabila Allah menjanjikan kejayaan kepada mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya, iaitu mereka yang mengerjakannya dengan sepenuh- penuh hormat dan takut kepada Allah. Firman Allah S.w.t dalam surah Al- Mu' minuun, ayat 1-2: Maksudnya: " Sesungguhnya berjayalah orang- orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya."

Di antara faedah khusyuk dalam sembahyang ialah supaya dapat memikirkan apa yang dibaca. Dengan memikirkan segala bacaan dan perbuatan yang dilakukan dalam sembahyang itu, dia akan dapat menghayati kandungan serta faedah sembahyang itu. Dengan disiplin dan peraturan yang ada dalam sembahyang itu, seseorang itu akan terbiasa melakukan sesuatu perkara itu dengan sungguh- sungguh dan memberi perhatian yang sepenuhnya kesan daripada kekhusyukan sembahyangnya itu.

10) Selain itu ibadat sembahyang juga adalah penghapus dosa dan kesalahan yang kita lakukan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis riwayat Al-Imam Bukhari daripada Abu Hurairah R.a beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah S.a.w bersabda: Maksudnya: " Apakah kamu mengetahui sekiranya ada sebuah sungai di pintu salah seorang daripada kamu yang ia mandi di dalamnya setiap hari lima kali, adakah engkau berkata itu masih terdapat kekotoran padanya? Mereka menjawab: Tidak terdapat sedikit kekotoran padanya. Baginda bersabda: Begitulah bandingan sembahyang yang lima yang mana Allah menghapuskan segala kesalahan."

11) Ibadat yang paling disukai oleh Allah S.w.t ialah sembahyang pada waktunya, iaitu tidak melewat- lewatkannya hingga akhir waktu sebagaimana yang disebutkan dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari bahawa Abu 'Amrin Asy-Syaibani berkata:
Maksudnya: " Tuan rumah ini menyampaikan kepada kami sambil mengisyaratkan kepada rumah Abdullah katanya: " Aku bertanya kepada Nabi S.a.w apakah amalan yang Allah lebih kasihi?" Baginda menjawab: " Mendirikan sembahyang dalam waktunya". Kemudian ia bertanya pula: " Kemudian apa lagi?". Baginda menjawab: " Berbuat baik kepada ibu bapa," kemudian ia bertanya lagi: "lepas itu apa lagi?" Baginda menjawab: " Berjihad pada jalan Allah". Dia (Abdullah) seterusnya berkata: " Rasulullah menyampaikan kepadaku (tiga) perkara tersebut, kalaulah aku minta baginda menambah lagi nescaya baginda menambah kepadaku."