✭ Bahaya Arak

 


notobeer


PENGERTIAN ARAK

Arak atau Bahasa Arab disebut khamar ialah bahan yang apabila diminum oleh seseorang boleh menyebabkan ianya mabuk atau lebih tepat lagi sesuatu bahan yang dapat menghilangkan kewarasan akal fikiran dari tabiat yang sebenarnya.

Seseorang yang meminum arak, biasanya menjadi mabuk, hilang kebenaran fikirannya, lupa diri, lupa pada Tuhan, percakapannya tidak menentu dan membuka rahsia diri dan rahsia orang lain tanpa disedari.

Di antara bahan- bahan yang digunakan untuk membuat arak itu sebagaimana firman Allah S.w.t dalam surah  An- Nahl ayat 67 iaitu :
Ertinya: " Dan dari buah nakhal dan anggur, kamu buat darinya minuman yang memabukkan dan makanan yang enak, sesungguhnya yang demikian itu menjadi tanda bagi orang yang memikirkan".

Sebuah hadis dari Ibnu Umar R.a, beliau berkata: " Sungguh telah turun hukum untuk mengharamkan minum arak, sedang arak itu terbuat daripada anggur, kurma, gandum dan barli. Dan yang dinamakan arak ialah barang yang menghilangkan akal fikiran". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adapun bahan- bahan untuk membuat arak yang disebutkan itu adalah bahan- bahan yang digunakan pada masa sebelum dan permulaan Islam yang dibuat oleh orang- orang Arab. Manakala pada masa sekarang, arak telah diperbuat dari berbagai bahan- bahan selain anggur, antaranya seperti beras, kabung, nira kelapa dan alkohol. Dan begitu juga namanya telah direka dengan bermacam- macam nama seperti bir, anchor, cognac, campange, tuak, samsu dan sebagainya. Walau bagaimanapun bahan dan namanya berlainan, samada dari anggur atau biji- bijian yang lain, namun apabila ia boleh memabukkan apabila diminum, ia adalah arak namanya pada syarak.


HUKUM ARAK

Arak yang mempunyai pengaruh negatif yang kuat terhadap akal fikiran manusia dan mengakibatkan peminumnya lupa diri adalah termasuk salah satu perbuatan syaitan dan merupakan dosa besar yang terkutuk. Kerana itu Islam dengan tegas telah mengharamkan orang Islam dari meminum arak.

Sebagaimana firman Allah S.w.t :

Ertinya: " Wahai orang- orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan undi nasib adalah kotor dari perbuatan syaitan, oleh kerana itu jauhilah dia, mudah- mudahan kamu mendapat kemenangan. Syaitan hanya bermaksud untuk mendatangkan permusuhan dan kebencian di antara kamu di sebabkan arak dan judi, dan menghalang kamu daripada ingat kepada Allah dan sembahyang, apakah kamu tidak mahu berhenti".  (Surah Al-Ma'idah: ayat 90- 91)

Amat jelas Allah S.w.t tegas dalam pengharaman meminum arak yang mana dinilai sebagai perbuatan najis lagi kotor yang diseiringkan dengan perbuatan- perbuatan dosa yang lain iaitu menyembah berhala, bertenung nasib dan judi.


Di samping ayat- ayat Al- Quran tadi, banyak hadis Nabi Muhammad S.a.w yang dapat dipetik dalam mengharamkan minuman arak ini, antaranya ialah:

1. Ertinya: " Tiada berzina orang yang berzina sedang ia berzina ia orang yang beriman, dan tiada mencuri orang yang mencuri sedang ia mencuri ia seorang yang beriman, dan tiada minum arak orang yang minum arak sedang ia meminum ia seorang yang beriman". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Ertinya: " Tiap- tiap yang memabukkan dinamakan khamar (arak) dan tiap- tiap yang memabukkan haram hukumnya". (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini, pengharaman arak adalah disebabkan pengaruhnya yang memabukkan, yang menghilangkan akal fikiran yang waras. Kerana itu banyak atau sedikit bukan menjadi ukuran dalam pengharaman arak ini.

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.a.w, ertinya: " Sesuatu yang dapat memabukkan dalam jumlah yang banyak, maka dalam jumlah yang sedikit juga haram hukumnya". (Hadis Riwayat Ahmad dan Tarmizi)

Hadis ini menunjukkan bahawa jika kita tinjau terhadap orang tidak biasa meminum minuman yang memabukkan, jika ia diberi sedikit akan nampak kesan yang tidak baik (mabuk).

Pengharaman arak ini bukan sahaja kepada perbuatan meminumnya, akan tetapi diharamkan kepada semua perkara yang melibatkan arak, sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah dab Tarmizi, berkata Al- Hafiz Al-Munziri dengan rawi- rawi yang dipercayai ertinya : " Rasulullah S.a.w telah melaknat dalam perkara arak ini sepuluh orang iaitu tukang buat arak, orang yang minta dibuatkan arak, peminum arak, tukang angkat arak, orang yang diangkat arak kepadanya, tukang beri minum arak, penjual arak, pemakan harga arak, yang membeli arak dan orang yang dibelikan arak ".

Sabda Rasulullah S.a.w setelah turunnya ayat 90-91, Surah Al- Ma'idah, ertinya: " Sesungguhnya Allah mengharamkan arak , maka maka barangsiapa yang mengetahui ayat ini dan dia masih mempunyai arak walaupun sedikit, jangan minum dan jangan menjualnya". (Hadis Riwayat Muslim)

Berpandukan dalil- dalil daripada hadis- hadis Nabi Muhammad S.a.w tentang pengharaman arak ini, maka semua jenis minuman yang boleh memabukkan dan menghilangkan kesedaran akal fikiran apabila diminum adalah haram hukumnya. Begitu juga sesiapa yang terlibat dengan arak samada menjual, membeli, memberi orang lain minum, membuat atau memerah, mengangkat, makan hasil daripadanya dan sebagainya adalah haram dan berdosa besar malah dilaknat oleh Allah S.w.t iaitu jauh daripada rahmat dan belas kasihan Allah S.w.t, kecuali ia bertaubat dan tidak mengulangi lagi perbuatannya itu.


KESAN ARAK

Meminum arak boleh membawa akibat- akibat yang sangat buruk terhadap diri peminum, keluarga dan masyarakat.

Beberapa riwayat telah menjelaskan dengan sejelas- jelasnya mengenai perkara ini.
Di antara riwayat- riwayat tersebut ialah:

1. Abul- Laith Assamarqandi berkata dalam kitabnya Tanbihul Ghafilin : " Awaslah kamu dari meminum arak kerana ia mengandungi sepuluh bahaya:

1. Peminumnya berkelakuan seperti orang gila dan menjadi bahan ketawa anak- anak kecil dan tercela di kalangan orang- orang berakal.

2. Memboroskan harta dan merosakkan akal.

3. Menyebabkan permusuhan dengan kawan- kawan.

4. Terhalang daripada mengingat Allah dan Sembahyang.

5. Terdorong melakukan zina, kerana dalam keadaan mabuk si peminum mungkin menceraikan isterinya tanpa disesari.

6. Arak adalah pembuka bagi segala kejahatan.

7. Perbuatan meminum arak menganggu Malaikat yang menjaga si peminum disebabkan kefasikan dan bau busuk arak yang diminumnya.

8. Dikenakan hukuman dera 80 kali di dunia dengan disaksikan keluarga dan teman- teman.

9. Perbuatan meminum arak menutup pintu langit disebabkan segala kebaikan dan doanya tidak terangkat ke langit selama 40 hari.

10. Membawa akibat buruk terhadap diri si peminum kerana ditakuti tercabut imannya ketika mati.

2. Satu riwayat Abul- Laith Assamarqandi dari Sayidina Usman bin Affan R.a ketika berkhutbah beliau berkata, " Hati- hatilah kamu dari khamar (arak), sebab ia adalah induk dari dosa- dosa yang keji. Sesungguhnya dahulu ada seorabg abid (hamba) yang biasa pergi ke masjid. Tiba- tiba ia bertemu dengan seorang perempuan lacur. Maka ia dipanggil oleh pelayan perempuan itu dan diajak masuk ke dalam rumahnya. Setelah abid itu masuk, pintu rumah itupun ditutup, dan didapatinya di sisi perempuan lacur itu ada segelas arak dan seorang anak kecil. Berkata perempuan itu, " Engkau tidak boleh keluar dari rumah ini sehingga engkau meminum arak itu atau berzina denganku atau membunuh anak ini. Jika tidak saya akan menjerit dan mengatakan, ada orang masuk ke rumahku". Maka jawab abid itu, " Berzina saya tidak mahu dan membunuh juga saya tidak mahu". Lalu ia memilih meminum arak, setelah ia minum dan mabuk, maka ia berzina dan membunuh anak itu". Sayidina Usman seterusnya berkata, " Oleh kerana itu jauhkanlah diri dari meminum arak kerana ia adalah ibu bagi segala dosa dan sesungguhnya tidak dapat berkumpul iman dan arak dalam dada seseorang melainkan harus keluar salah satu daripadanya, yakni seorang jika telah mabuk maka akan keluar dari lidahnya kalimat- kalimat kufur. Lalu menjadi kebiasaan sehingga ia mati dalam kalimat- kalimat itu dan menyebabkan ia kekal di dalam neraka."
(Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Daripada riwayat- riwayat di atas, jelaslah kepada kita bahaya akibat dari perbuatan meminum arak amat mengerikan dan menakutkan.

Adapun kesan negatif dari penagihan arak ini amat banyak, yang mana dapat kita tinjau daripada beberapa segi seperti di bawah ini:

Kesan dari segi keagamaan:

Peminum arak biasanya akan melupakan semua kebaikan, mengabaikan dirinya daripada mengerjakan ibadat sembahyang dan mengingati Allah S.w.t. Dapat menghancurkan moral, meruntuhkan akhlak dan melemahkan perasaan dan semangat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang manusia uang dipandang mulia, waras dan berakal.

Keimanan makin lama akan berkurangan, segala maksiat dan kejahatan menjadi sebati dan dianggap baik untuk melakukannya. Dan jika mati dalam keadaan mabuk sudah pasti kerugian yang amat besar diperolehinya kerana tidak sempat bertaubat dan memungkinkannya menjadi kufur.

Sebagaimana hadis Nabi Muhammad S.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Al- Hakim, ertinya: " Barangsiapa yang melakukan zina atau meminum arak, maka Allah S.w.t akan lucutkan imannya  dari dirinya sebagaimana seseorang membuka baju dari kepalanya".

Kesan dari segi kesihatan

Ada yang sekarang ini lebih kita kenali mengandungi sejenis bahan yang dinamakan alkohol. Doktor Mustafa Al- Haffar seorang pakar kedoktoran di Perancis berkata mengenai pengaruh minum arak yang mengandungi alkohol ini terhadap si peminum atau lebih tepat si penagih arak adalah sangat membahayakan bagi tubuh badan penagih, di mana sasaran utama yang dituju adalah hati.

Hati adalah berfungsi sangat penting bagi kestabilan kesihatan iaitu memproses semua makanan yang akan dikirim ke seluruh badan. Maka apabila hati diserang sudah pasti akibatnya akan merosak dan terkumpulnya lemak yang akan melemahkan aktifnya fungsi hati dan bahayanya sangat ketara apabila timbul penyakit- penyakit seperti penyakit kanser hati dan penyakit jantung, kerana alkohol boleh meninggalkan pengaruh negatif pada organ- organ tubuh yang lain. Hempedu juga boleh mengeras, perut dan usus akan buntu dan mengalami pendarahan dan bahagian bawah perut besar akan mengalami ketegangan.

Alkohol juga menyebabkan kesan- kesan berat pada mulut, perut, alat penghadaman, otak dan alat- alat pancaindera seperti mata,telinga dan hidung. Alat penghadaman tidak dapat  berfungsi sebagaimana mestinya dan tidak dapat menyerap  sari- sari makanan.

Arak atau alkohol ini juga dapat meninggikan tekanan darah si peminum yang mana akan lebih membahayakan sekiranya si peminum mengidap penyakit darah tinggi yang mana akan menuju sasarannya iaitu saraf- saraf yang ada pada otak sehingga boleh menyebabkan parah dan tidak diselamatkan lagi.

Ada pula setengah pendapat yang mengatakan bahawa arak boleh dijadikan ubat. Dalam hal ini Rasulullah S.a.w pernah menjawab bila ada orang yang bertanya mengenai hukum arak yabg digunakan untuk ubat, "Arak itu bukan ubat tetapi penyakit". (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi)

Sabda Rasulullah S.a.w lagi, ertinya: Dari Ummi Salamah R.a, dari Nabi Muhammad S.a.w,  beliau bersabda: " Sesungguhnya Allah tidak menjadikan ubatmu pada barang yang diharamkan kepadamu". (Hadis Riwayat Al- Baihaqi dan Ibnu Majah)

Sekiranya arak dianggap sebagai ubat, ini bererti adanya galakan dan anjuran untuk menyenangi minuman arak, ini amat bertentangan dengan hukum syarak di mana arak adalah dilarang dan haram hukumnya.
Yang demikian arak bukanlah ubat tetapi adalah pembawa dan penyebab penyakit, di mana si penderita sakit yang diberikan miniman keras untuk meringankan penyakitnya adalah bersifat sementara sahaja dan akan datang sakitnya kembali apabila kesan arak yang diminumnya itu sudah hilang. Lama- kelamaan si penderita akan terus menerus mengambil arak untuk dijadikan ubatnya dengan tidak disedarinya ia akan menjadi penagih arak yang membahayakan dirinya sendiri. Dan di sini para doktor tidak akan dapat mengubatinya lagi baik pengubatan fizikalnya atau mentalnya.

Kesan terhadap kerukunan rumahtangga

Arak juga dapat menjejaskan kehidupan aman berumahtangga apabila wang perbelanjaan keluarga akan dihabiskan semata- mata menurut hawa nafsu ketagihan arak. Pertelingkahan akan sering terjadi di antara suami isteri dan seluruh keluarga yang terlibat. Suami yang mabuk disebabkan arak ini sudah pasti tidak dapat lagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ketua dalam rumahtangga dengan baik. Anak- anak akan menjadi mangsa kurangnya penjagaan, pengawasan dan pemedulian orang tuanya.

Apabila keadaan sudah terjadi begini rupa, anak- anak akan kurang didikan yang sempurna dan tidak hairanlah akan ada anak- anak yang keciciran pelajarannya, suka ponteng sekolah, menjadi anak- anak nakal, tidak lagi menghormati orang tua dan lain- lain kesan negatif. Ini adalah disebabkan keluarga yang keadaannya sudah kucar kacir dan tidak lagi mengutamakan cara hidup yang betul dan hilanglah kerukunan hidup berkeluarga disebabkan pengaruh anak yang sangat bahaya.

Kesan terhadap masyarakat

Apabila seseorang itu minum arak secara terus menerus, ini bererti ianya telah ketagihan dan tidak dapat melepaskan dirinya dari cengkaman arak. Dengan demikian, si peminum akan bertambah sesat, hilang pengawalan terhadap diri sendiri dan orang- orang yang  berada di sekitarnya. Pengaruhnya yang sangat bahaya terhadap saraf- saraf otak di mana boleh mengakibatkan seseorang penagih tidak mampu mengendalikan diri, tingkah laku dan hilang pula rasa malu. Maka dalam hal ini hilang keseimbangan diri dan jauh dari nilai- nilai akhlak dan timbul pula keberanian untuk melakukan tindakan- tindakan negatif terhadap orang lain. Pintu- pintu kemaksiatan dan kerosakan  akan bertambah terbuka, di mana terjadi kes- kes perkosaan, penzinaan, penyalahgunaan wang disebabkan ketagihan arak yang memerlukan wang untuk mendapatkannya. Permusuhan dan kebencian di kalangan teman- teman dan masyarakat sekelilingnya. Keamanan dan keselamatan masyarakat akan tergugat apabila terjadinya perkara- perkara sumbang, mencabuli kehormatan tetangga, merosakkan rumahtangga orang lain dan bermacam- macam lagi akibat buruk akan terjadi disebabkan arak.

Sabda Rasulullah S.a.w, ertinya: " Janganlah kamu meminum arak kerana arak adalah kunci segala kejahatan". (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Kesan terhadap keselamatan umum

Kesan yang jelas di sini ialah apabila seorang peminum arak yang mabuk memandu kenderaan di jalan raya adalah satu keadaan yang sangat merbahaya, baik terhadap diri peminum itu sendiri maupun orang ramai.
Kemalangan dan kecelakaan lalulintas akan berlaku yang mana boleh mengakibatkan kecederaan dan menyebabkan kematian orang yang tidak berdosa. Dan dalam banyak keadaan berlakunya kecelakaan, boleh mengakibatkan kesan yang sangat buruk dan akan berpanjangan terhadap si peminum arak itu sendiri seperti mengakibatkan kecederaan atau kecacatan pada anggota tubuh badannya, kurang siuman sekiranya mengenai bahagian otaknya, yang paling malang lagi apabila membawa kepada kematian si peminum sendiri.

Dan banyak lagi kesan-kesan yang buruk yang boleh berlaku akibat meminum arak seperti boleh melibatkan kestabilan ekonomi, keamanan dan berlaku huru- hara dalam sesebuah negara apabila penagih- penagih arak wujud di dalam sesebuah sektor kerajaan atau swasta yang mana boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa, hartabenda, penyelewengan wang negara, pecah amanah dan sebagainya.

BALASAN PEMINUM ARAK

Beberapa riwayat hadis- hadis Nabi Muhammad S.a.w tentang balasan Allah S.w.t kepada peminum- peminum arak, antaranya:

1. Diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dan Al Hakim, ertinya: " Barangsiapa minum arak, tiadalah Allah terima sembahyangnya selama 40 hari, jika ia bertaubat maka Allah terima taubatnya. Jika ia kembali minum maka tiadalah diterima sembahyangnya selama 40 hari, jika ia bertaubat, maka Allah akan terima taubatnya, jika ia kembali minum maka Allah tidak akan terima sembahyangnya selama 40 hari. Jika ia bertaubat maka Allah akan terima taubatnya, jika ia kembali minum maka Allah tidak akan terima sembahyangnya selama 40 hari, jika ia bertaubat maka tiadalah Allah terima taubatnya dan Allah beri ia minum dari Sungai Khabal". Orang bertanya kepada sahabat Ibnu Umar periwayat hadis itu, " Apakah Sungai Khabal itu wahai  Abu Abd Rahman?". Jawabnya, " Sungai dari nanah penduduk ahli neraka".

2. Diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Muslim,
ertinya: " Dari Anas R.a. bahawa Nabi Muhammad S.a.w dalam perkara minum arak telah mendera dengan ranting kurma dan dengan terompah, kemudian Abu Bakar mendera sebanyak 40 kali, tatkala (sampai kemasa) Khalifah Umar dan hampir kepada orang ramai dari desa dan kampung, ia bertanya,apa pendapat kamu dalam perkara mendera orang minum arak?. Maka jawab Abd Rahman Bin Auf, " Aku berpendapat bahawa engkau melakukan hukuman minuman arak itu seperti hukum had yang paling ringan". Maka Khalifah Umar R.a mendera sebanyak 80 kali".

3. Satu riwayat oleh Ali Umamah, dari Nabi Muhammad S.a.w dengan sabdanya:
ertinya: " Tiga jenis orang yang tidak masuk syurga ialah penagih arak, orang yang memutus tali silaturrahim atau hubungan persaudaraan dan orang yang mempercayai ahli sihir. Barangsiapa mati dalam keadaan dia seorang penagih arak, maka akan diberi minum oleh Allah S.w.t dari Sungai Ghuta iaitu sungai yang mengalir dari kemaluan perempuan- perempuan yang berzina yang menambah siksa para penghuni neraka disebabkan baunya yang busuk".

 4. Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah dan Ibnu Hibban dalam sahihnya akan hadis Nabi Muhammad S.a.w, sabdanya:
Ertinya: " Orang- orang daripada umatku minum arak, mereka namakan arak dengan berbagai- bagai nama, dipalukan di atas kepala mereka oleh tukang palu dengan berbagai- bagai alat dan perkakas bunyi- bunyian dan dengan berbagai- bagai rupa penyanyi perempuan, mereka akan disebut oleh bumi dan mereka akan dijadikan kera dan babi".

5. Abul- Laith Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Umar R.a berkata: " Akan dibangkitkan pada hari kiamat orang yang minum arak itu bermuka hitam, biru matanya, keluar lidahnya sampai ke dadanya, mengalir air liurnya. Setiap orang yang melihatnya akan merasa jijik kepadanya kerana busuk baunya. Janganlah kamu memberi salam kepada pemabuk dan jangan menyembahyangkannya jika ia mati".

Inilah di antara balasan yang akan diterima oleh peminum arak di akhirat kelak, kerana arak adalah diharamkan ke atas tiap- tiap orang Islam meminumnya samada banyak atau sedikit.